Jangan tunggu kontroversi baru nak bertindak

LocalMovie
7 Sep 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan tunggu kontroversi baru nak bertindak
Kes Madu atau Racun perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar satu kontroversi drama.

SUDAH sampai masanya persoalan mengenai kawal selia industri filem dan drama negara diteliti dengan lebih serius.

Bukan untuk menyekat kreativiti, tetapi persoalan bagaimana kandungan didakwa melanggar garis panduan boleh terlepas hingga ditonton kanak-kanak dan remaja perlu dijawab.

Kontroversi drama Madu atau Racun yang ditegur Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan, wajar menjadi peringatan agar sistem sedia ada dinilai semula.

Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika siasatan mendapati berlaku pelanggaran garis panduan, peraturan atau ketetapan berkuat kuasa.

Pendirian itu memang wajar, namun tindakan selepas kontroversi tercetus bukan penyelesaian sepenuhnya.

Persoalan lebih besar ialah mengapa kandungan yang dipertikaikan itu boleh sampai kepada penonton terlebih dahulu?

Jika karya sudah dinilai, siapa bertanggungjawab memastikan setiap babak, dialog dan elemen mematuhi garis panduan? Adakah kelemahan semakan atau perubahan kandungan selepas penilaian Soalan-soalan ini perlu dijawab secara terbuka supaya kejadian sama tidak berulang.

Dalam era digital, cabaran kawal selia bukan lagi sekadar filem yang ditayangkan di pawagam atau drama yang disiarkan stesen televisyen. Platform penstriman telah mengubah keseluruhan landskap industri hiburan.

Di sinilah keterbatasan pendekatan lama semakin terserlah. Malaysia mempunyai Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun kemampuan kawal selia perlu bergerak seiring perubahan teknologi.

Jika kandungan digital berkembang lebih pantas daripada peraturan dan mekanisme penguatkuasaan, maka sentiasa wujud ruang untuk kandungan bermasalah terlepas.

Dalam konteks ini, kerjasama antara LPF, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta kementerian berkaitan tidak boleh sekadar bersifat reaktif apabila kontroversi tercetus.

Kita memerlukan sistem yang lebih jelas, pantas dan berkesan. Platform penstriman yang beroperasi dan mempunyai pengguna di Malaysia juga perlu mengambil tanggungjawab.

Sistem pengelasan kandungan, kawalan ibu bapa, amaran kandungan dan mekanisme aduan tidak seharusnya dianggap sebagai ciri tambahan semata-mata.

Pada masa sama, penerbit tempatan juga perlu memahami bahawa kebebasan berkarya datang bersama tanggungjawab.

Kreativiti tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan garis panduan. Begitu juga penguatkuasaan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membunuh kreativiti. Kedua-duanya perlu bergerak seiring. Yang lebih membimbangkan ialah jika masyarakat hanya diberi penjelasan selepas sesuatu kandungan menjadi tular.

Dalam dunia media sosial, sesuatu babak hanya memerlukan beberapa minit untuk tersebar sebelum pihak berkuasa sempat memberikan penjelasan.

Justeru, kes Madu atau Racun perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar satu kontroversi drama.

Ia adalah ujian terhadap keupayaan negara menyesuaikan sistem kawal selia dengan realiti hiburan digital.

Jika benar berlaku pelanggaran, tindakan tegas perlu diambil. Jika berlaku kelemahan dalam proses tapisan atau penguatkuasaan, kelemahan itu pula mesti diperbaiki.

Jangan sampai kita mempunyai garis panduan yang lengkap, tetapi masih gagal menjawab persoalan paling asas: bagaimana kandungan yang tidak sepatutnya ditayangkan masih boleh bolos?

Dalam soal kandungan yang membentuk pemikiran dan nilai masyarakat, khususnya generasi muda, kita tidak boleh hanya bertindak selepas nasi menjadi bubur.

*Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved