Malaysia perlu semak semula unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2025, kata Gabenor BNM

24/04/2025 - 12:00
KUALA LUMPUR 24 April - Malaysia perlu menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonominya antara 4.5% hingga 5.5% untuk 2025 disebabkan ketidaktentuan dalam perdagangan dan tarif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Abdul Rasheed Ghaffour.
Malaysia bagaimanapun tidak tergesa-gesa untuk menyemak semula unjuran tersebut dan akan melihat perkembangan situasi perdagangan global, katanya dalam satu acara anjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.
Malaysia dijangka berdepan kadar tarif sebanyak 24% pada Julai 2025 ke atas barangan yang dieksport ke Amerika Syarikat, kecuali jika satu perjanjian berjaya dicapai antara kedua-dua negara, lapor Reuters.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kini berada di AS untuk mengadakan rundingan dengan Wakil Perdagangan negara itu serta pegawai-pegawai lain.

Abdul Rasheed berkata, Malaysia sedang menghadapi situasi ekonomi global semasa dari kedudukan yang kukuh, berdasarkan pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan iaitu 5.1% tahun lalu, permintaan domestik yang kukuh, peningkatan aktiviti pelaburan, dan pemulihan dalam eksport.
Kadar faedah utama Malaysia sebanyak 3% adalah menyokong pertumbuhan dan mencerminkan pandangan bank pusat terhadap inflasi, tambah Abdul Rasheed.
“Kami tidak mahu dasar monetari menambahkan lagi ketidaktentuan... Lebih penting adalah untuk kekal kepada mandat dalam memastikan kestabilan harga yang boleh menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya. - DagangNews.com
featured standard

