Malaysia perlukan RM93 bilion pelaburan solar, RM83 bilion gas tampung keperluan pusat data - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 10:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia perlukan RM93 bilion pelaburan solar, RM83 bilion gas tampung keperluan pusat data - CIMB Securities Image from: Malaysia perlukan RM93 bilion pelaburan solar, RM83 bilion gas tampung keperluan pusat data - CIMB Securities hamden26/10/2026 - 10:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - Malaysia memerlukan pelaburan sehingga RM176 bilion bagi membangunkan kapasiti penjanaan tenaga solar dan gas baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus membuka peluang pertumbuhan kepada syarikat dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) dan penjanaan tenaga konvensional.

 

CIMB Securities menganggarkan pembangunan kapasiti solar baharu sebanyak 24 gigawatt (GW) memerlukan pelaburan RM93 bilion, manakala sehingga RM83 bilion diperlukan bagi membangunkan kapasiti penjanaan berasaskan gas sehingga 15 GW antara 2026 hingga 2035.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaburan berkenaan diperlukan bagi menampung peningkatan permintaan elektrik, khususnya daripada pusat data (DC), di samping mengurangkan pelepasan karbon dan mengekalkan margin rizab bekalan elektrik pada tahap optimum.

 

Antara syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada pembangunan kapasiti solar baharu ialah Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd, selain Kee Ming Group Bhd yang terlibat dalam bidang kejuruteraan serta mekanikal dan elektrikal.

 

Solarvest memiliki 23.85% kepentingan dalam Kee Ming Group.

 

Bagi penjanaan tenaga konvensional, CIMB Securities mengunjurkan kapasiti penjanaan berasaskan gas sehingga 15 GW diperlukan sepanjang dekad akan datang bagi mengekalkan margin rizab terjamin sebanyak 25%.

 

Bagaimanapun, jumlah pelaburan itu berpotensi berkurangan sekiranya perjanjian pembelian tenaga bagi empat loji janakuasa arang batu yang akan tamat tempoh antara 2029 hingga 2033 dilanjutkan.

 

Dalam senario berkenaan, hanya tambahan kapasiti penjanaan gas sebanyak 7 GW diperlukan, melibatkan anggaran pelaburan RM42 bilion.

 

CIMB Securities menjangkakan Tenaga Nasional Bhd (TNB), YTL Power International Bhd dan Malakoff Corp Bhd antara pemain utama yang berpotensi mendapat manfaat daripada peluasan kapasiti penjanaan berasaskan gas.

 

Pusat data ubah profil penggunaan tenaga

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menjadi hab DC serantau dijangka mengubah profil permintaan elektrik negara dengan ketara.

 

Berdasarkan pelaburan DC yang telah dimuktamadkan, penggunaan elektrik oleh sektor itu diunjurkan meningkat hampir 600% antara 2026 hingga 2035.

 

DC dijangka menyumbang 31% daripada jumlah permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia menjelang 2035, berbanding 6% pada separuh pertama 2026, sekali gus meningkatkan keperluan untuk memperluas kapasiti penjanaan dan memperkukuh infrastruktur grid elektrik.

 

Bagi menyokong peralihan tenaga, Malaysia merancang meningkatkan bahagian TBB dalam campuran tenaga di Semenanjung Malaysia kepada 22% menjelang 2035, berbanding 11% pada 2025.

 

Pada masa sama, bahagian penjanaan berasaskan gas dijangka meningkat kepada 59% daripada 37%, manakala sumbangan arang batu diunjurkan merosot kepada 10% daripada 52%.

 

CIMB Securities menjelaskan penjanaan elektrik berasaskan arang batu menghasilkan pelepasan karbon dioksida setara 1.8 kali lebih tinggi bagi setiap megawatt-jam berbanding penjanaan berasaskan gas.

 

Peralihan itu dijangka mengurangkan faktor pelepasan grid sebanyak 55% antara 2024 hingga 2034, menurut anggaran Single Buyer.

 

Selain kapasiti penjanaan, pertumbuhan DC dan sumber TBB turut memerlukan pelaburan besar untuk menaik taraf infrastruktur penghantaran dan pengagihan elektrik.

 

CIMB Securities berkata, sistem penyimpanan tenaga bateri berskala utiliti berpusat diperlukan bagi menangani kekurangan inersia fizikal yang dikaitkan dengan penjanaan solar serta menyokong kestabilan grid.

 

Penaiktarafan talian penghantaran voltan tinggi, pencawang dan rangkaian penghantaran utama juga diperlukan bagi menampung kelompok DC berketumpatan tinggi, memudahkan pemindahan elektrik antara wilayah serta menghubungkan sumber TBB di kawasan terpencil dengan pusat permintaan.

 

Pelaburan berkenaan dijangka mengekalkan perbelanjaan modal terkawal TNB sehingga Tempoh Kawal Selia Kelima (RP5), meliputi 2028 hingga 2030.

 

Antara kontraktor dan pembekal yang berpotensi mendapat manfaat daripada kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur itu ialah MN Holdings Bhd, Southern Cable Group Bhd dan Pekat Group Bhd.

 

Secara keseluruhan, CIMB Securities mengekalkan saranan "Overweight" terhadap sektor utiliti, dengan menyenaraikan TNB, YTL Power, Malakoff, Solarvest, Samaiden, Kee Ming, MN Holdings, Southern Cable dan Pekat sebagai antara penerima manfaat berpotensi daripada kitaran pelaburan berkenaan.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, rangka kerja tarif elektrik yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 menghendaki pengendali DC membayar tarif 33% lebih tinggi daripada kadar asas, mencerminkan kos penjanaan tanpa subsidi.

 

Pengendali DC juga perlu menanggung kos infrastruktur pengukuhan grid berdasarkan prinsip "pengguna membayar" bagi memastikan perbelanjaan berkenaan tidak dipindahkan kepada pengguna elektrik lain. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved