hamden20/10/2026 - 10:30 KUALA LUMPUR 20 Okt – Projek Pengukuhan Rangkaian Kuching (KNR) bernilai RM3 bilion yang bertujuan memenuhi keperluan bekalan elektrik bagi pembangunan utama di bahagian Kuching dan Samarahan kini mencapai kemajuan pelaksanaan sebanyak 32.2%.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Fasa 1 projek yang meliputi laluan Entingan–Tanjong Bako dijangka siap pada suku kedua 2028.
Beliau berkata, skop kerja bagi fasa berkenaan merangkumi pembinaan pencawang 275kV Entingan B, pencawang 275kV Tanjong Bako serta talian penghantaran 275kV yang menghubungkan kedua-dua lokasi itu.
“Pencawang 275kV Entingan B mencatatkan kemajuan 30.3%, manakala pencawang 275kV Tanjong Bako mencapai 21%.
“Talian penghantaran 275kV dari Entingan B ke Tanjong Bako pula mencatatkan kemajuan sebanyak 77.5%,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Isnin.
Sementara itu, Fasa 2 KNR yang melibatkan laluan Demak Laut–Santubong kini dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan yang dijangka selesai pada suku pertama 2027.
"Kerja pembinaan bagi fasa berkenaan dijadualkan bermula pada suku keempat 2028." katanya lapor DayakDaily.
Pembangunan Grid Utara
Projek KNR dilaksanakan bagi menyokong keperluan bekalan elektrik pada masa hadapan susulan perancangan pembangunan utama di bahagian Kuching dan Samarahan, termasuk pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching di Tanjung Embang.
Hab itu dirancang sebagai pintu masuk bersepadu dan berdaya saing rendah karbon bagi aktiviti perdagangan, logistik dan industri hijau, dengan sokongan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu serta pelabuhan laut dalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Julaihi berkata pembangunan Grid Utara sepanjang kira-kira 359 kilometer yang beroperasi pada voltan 275kV telah membolehkan sambungan grid ke Lawas pada 4 Disember 2025 dan Limbang pada 31 Julai 2026.
Sambungan grid Sarawak–Sabah menerusi Lawas turut mula beroperasi pada 13 Disember 2025.
Beliau berkata, talian penghantaran 500kV yang menghubungkan Bunut, Similajau, Mapai dan Tondong telah siap pada 21 Ogos 2025.
Talian itu kini beroperasi pada voltan 275kV sebagai tulang belakang kedua sistem penghantaran elektrik Sarawak.
Pembangunan rangkaian penghantaran berkenaan dijangka menyokong pengukuhan infrastruktur tenaga negeri bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi dan industri pada masa hadapan. - DagangNews.com






