
PUTRAJAYA – Malaysia akan memberikan perhatian kepada usaha memperluas mobiliti pelajar dan akademik bersama Russia dalam kerjasama dua negara terutama dalam bidang pendidikan tinggi.
Perkara itu dicapai dalam perbincangan kedua-dua negara ketika Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 yang berlangsung di Vladivostok, Rusia bermula hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama bidang pendidikan tinggi itu turut meliputi penyelidikan bersama, kerjasama universiti serta pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan bidang-bidang strategik masa hadapan.
“Antara perbincangan lain ialah usaha memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala, meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik dan teknologi baharu. Ini termasuk memperkukuh jaringan penyelidikan serta inovasi, di samping meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Zambry bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia, Valery Falkov merangkap Pengerusi Bersama JC-ESTC bagi pihak Russia.
JC-ESTC yang ditubuhkan pada tahun 2015 merupakan platform rasmi utama antara Malaysia dan Russia untuk menyelaras serta memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Zambry berkata, mesyuarat kali ini amat signifikan dalam usaha kedua-dua negara menterjemahkan hubungan yang sedia terjalin kepada bentuk kerjasama yang lebih konkrit dan memberikan manfaat bersama.
Mesyuarat kali ini turut melibatkan wakil daripada 18 kementerian dan agensi berkaitan sekali gus mencerminkan keluasan skop serta kepentingan hubungan Malaysia-Russia yang merangkumi bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pertanian serta kerjasama sosial dan kebudayaan.
“Mesyuarat ini juga akan menjadi ruang untuk kedua-dua negara menilai kemajuan terhadap perkara yang telah dipersetujui sebelum ini, mengenal pasti cabaran yang perlu diselesaikan serta menetapkan bidang keutamaan baharu yang boleh dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Zambry berkata, apa yang penting, Malaysia mahu JC-ESTC menjadi sebuah platform yang berorientasikan tindakan dan hasil.
Jelasnya, hubungan baik antara kedua-dua negara perlu diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan peluang baharu yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat serta ekonomi kedua-dua negara.
“Malaysia dan Russia mempunyai kekuatan yang boleh saling melengkapi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan.
“Justeru, terdapat ruang yang luas untuk kedua-dua negara meningkatkan lagi tahap kerjasama berdasarkan kepentingan bersama dan prinsip saling menghormati,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap Mesyuarat JC-ESTC Ke-5 ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Russia serta menghasilkan beberapa kesepakatan dan langkah susulan yang konkrit untuk memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia-Russia perluas mobiliti pelajar, akademik di mesyuarat JC-ESTC appeared first on Kosmo Digital.





