
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 antara Malaysia dan Rusia diyakini mampu menterjemahkan hubungan sedia terjalin kepada bentuk kerjasama yang lebih konkrit dan memberikan manfaat antara kedua negara.
Melahirkan keyakinan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, JC-ESTC yang ditubuhkan pada 2015 merupakan platform rasmi utama antara Malaysia dan Rusia untuk menyelaras serta memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Justeru jelas beliau, mesyuarat ini membuka ruang untuk kedua-dua negara menilai kemajuan terhadap perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Ia termasuk mengenal pasti cabaran perlu diselesaikan serta menetapkan bidang keutamaan baharu yang boleh dilaksanakan secara bersama,” katanya, sejurus tiba di Vladivostok, Rusia bagi mengetuai delegasi Malaysia.
Zambry memberitahu, mesyuarat JC-ESTC yang akan dipengerusikannya bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia merangkap Pengerusi Bersama JC-ESTC bagi pihak Rusia.m, Valery Folkov itu antara lain bakal mengangkat beberapa perkara penting, antaranya usaha memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala, meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik dan teknologi baharu, memperkukuh jaringan penyelidikan serta inovasi, di samping meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
“Mesyuarat kali ini turut melibatkan wakil daripada 18 kementerian dan agensi berkaitan sekaligus mencerminkan keluasan skop serta kepentingan hubungan Malaysia-Rusia yang merangkumi bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pertanian serta kerjasama sosial dan kebudayaan.
“Dalam bidang pendidikan tinggi khususnya, Malaysia akan memberikan perhatian kepada usaha memperluas mobiliti pelajar dan akademik, penyelidikan bersama, kerjasama universiti-ke-universiti serta pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan bidang-bidang strategik masa hadapan,” katanya.
Apa yang penting tegas Zambry, Malaysia mahu JC-ESTC menjadi sebuah platform yang berorientasikan tindakan dan hasil.
Hubungan baik antara kedua-dua negara katanya, perlu diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan peluang baharu yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat serta ekonomi kedua-dua negara.
“Malaysia dan Rusia mempunyai kekuatan yang boleh saling melengkapi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan.
“Justeru, terdapat ruang yang luas untuk kedua-dua negara meningkatkan lagi tahap kerjasama berdasarkan kepentingan bersama dan prinsip saling menghormati,” katanya. - Getaran, 13 Ogos 2026






