Malaysia Salur Tambahan AS$1 Juta Kepada UNRWA Untuk Bantuan Palestin

25 Sep 2026 • 5:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malaysia Salur Tambahan AS$1 Juta Kepada UNRWA Untuk Bantuan Palestin

NEW YORK - Malaysia akan menyalurkan tambahan AS$1 juta (kira-kira RM4.07 juta) kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) bagi menyokong usaha kemanusiaan di Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sumbangan itu akan disalurkan secara ansuran tahunan sebanyak AS$200,000 (RM813,700) sehingga 2030.

“Kita perlu menghantar mesej jelas bahawa pembentukan negara Palestin tidak boleh terus menjadi janji yang ditangguhkan.

“Oleh itu, Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak gencatan senjata segera dan berkekalan,” katanya ketika menyampaikan kenyataan pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan OIC dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC di New York, hari ini.

Mohamad turut menggesa Israel menghentikan keganasan peneroka di Tebing Barat, pemindahan penduduk Palestin secara tidak sah di Baitulmaqdis serta sebarang tindakan yang boleh mengubah identiti Baitulmaqdis dan tapak suci di bandar berkenaan.

Beliau berkata, OIC mempunyai peranan untuk mengambil langkah ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan berdaya maju selaras dengan penyelesaian dua negara.

“Malaysia juga menggesa negara anggota OIC meningkatkan sokongan dalam melindungi, membina semula dan memperkukuh institusi Palestin.

“Ini bagi memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, termasuk dakwaan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, selain mendapatkan pampasan sewajarnya untuk rakyat Palestin,” katanya. - Getaran, 25 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved