
KONTINJEN negara menggalas misi memburu enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Sumali Reduan berkata, sasaran keseluruhan 33 pingat itu ditetapkan berdasarkan prestasi semasa, rekod pencapaian terkini serta potensi atlet selepas mengambil kira tahap persaingan sengit di pentas Asia.
“Sasaran ini realistik berdasarkan prestasi dan pencapaian terkini. Semua tahu ini temasya besar, Sukan Asia bukan Sukan SEA, jadi sudah pasti cabarannya lebih besar.
“Kita juga berharap ada bonus daripada sasaran emas kerana kita menyasarkan tujuh perak dan 20 gangsa. Sudah pasti ada peluang untuk pingat perak itu bertukar kepada emas.
“Tetapi sasaran ini dibuat selepas kita berbincang secara terperinci dengan mengambil kira prestasi semasa dan kekuatan lawan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Malaysia mempertaruhkan seramai 352 atlet dan 185 pegawai dalam 30 daripada 43 jenis sukan dengan kontinjen negara mengambil bahagian dalam 156 daripada keseluruhan 469 acara yang dipertandingkan.
Daripada jumlah atlet itu, 15 merupakan atlet menerusi program Road to Gold (RTG), 158 program podium, 14 program pelapis dan 165 di bawah program persatuan, selain 110 atlet berusia bawah 21 tahun yang turut mendapat tempat dalam kontinjen.
Menurut Sumali, 13 sukan dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat iaitu berbasikal trek, badminton, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-Sukan dan menembak.
“Antaranya skuasy, lumba basikal trek, sepak takraw dan wushu. Kita berharap seperti di Sukan Komanwel sebelum ini, akhirnya ada bonus tetapi pada masa sama kita berdoa supaya tidak kurang daripada sasaran kerana yang penting kita perlu mencapai sasaran keseluruhan 33 pingat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menjelaskan sasaran berkenaan dibuat berdasarkan pemantauan bulanan setiap sukan selain perbincangan bersama persatuan dan jurulatih dengan faktor kecederaan serta persiapan atlet turut diambil kira.
“Kita buat pemantauan setiap bulan untuk menilai prestasi atlet kita dengan atlet luar. Persaingan di Sukan Asia sangat tinggi, malah bagi sesetengah sukan atau acara hampir menyamai persaingan di Sukan Olimpik.
“Kita rasa sasaran enam emas itu mampu dicapai dan mungkin ada peluang lain daripada sukan tertentu bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan. Beberapa atlet juga sudah menyatakan hasrat untuk melepasi pencapaian mereka di Hangzhou dan kita yakin dengan iltizam itu mereka mampu memberikan prestasi terbaik,” katanya.
The post Malaysia sasar enam emas di Aichi-Nagoya appeared first on Kosmo Online.



