Malaysia sedang runding anjur F1 ganti Bahrain

24 Jul 2026 • 4:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Malaysia sedang runding anjur F1 ganti Bahrain

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menjalankan penelitian dan perbincangan berhubung kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini bagi menggantikan Grand Prix (GP) Bahrain.

Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya sudah menerima makluman awal mengenai cadangan berkenaan, namun sebarang keputusan hanya diumumkan selepas semua aspek berkaitan dimuktamadkan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan F1 di Malaysia, selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

“KBS kekal komited dengan misi untuk terus menyokong pembangunan sukan negara termasuklah sukan permotoran.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan setelah ia dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal khusus sukan permotoran the-race.com pada Khamis melaporkan Malaysia berpeluang kembali tersenarai dalam kalendar F1 pada notis singkat tahun ini sekiranya konflik melibatkan Iran terus menimbulkan gangguan.

Pada pertengahan Mac, perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung pada April ditangguhkan susulan peperangan, sekali gus mengurangkan kalendar musim ini daripada 24 kepada 22 perlumbaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut laporan itu, sekiranya dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar pada 29 Nov dan Abu Dhabi pada 6 Dis tidak dapat diteruskan akibat konflik di Asia Barat, pengurusan F1 sedang meneliti beberapa pilihan lain.

Sebelum konflik Iran kembali memuncak, pihak penganjur berharap GP Bahrain dapat dijadualkan semula pada hujung minggu pertama Oktober, antara perlumbaan di Azerbaijan dan Singapura.

Bagaimanapun, kemungkinan itu kini dilihat semakin tipis susulan ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran.

 Justeru, Malaysia dan Turkiye kini antara calon untuk menganjurkan perlumbaan pada 4 Okt, menurut laporan itu.

F1 dijangka membuat keputusan awal mengenai cadangan perlumbaan tersebut ketika kejuaraan memasuki cuti pertengahan musim selepas GP Hungary di Budapest hujung minggu ini, sebelum saingan bersambung semula pada penghujung Ogos.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum digugurkan daripada kalendar susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved