Malaysia sedia bantu negara ASEAN, sokong misi bantuan luar rantau - Ahmad Zahid

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia sedia bantu negara ASEAN, sokong misi bantuan luar rantau - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid (dua, kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 dan Mesyuarat Persidangan Pihak-Pihak (COP) Ke-15 kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) serta Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan pada Rabu. Foto Bernama

TANGERANG - Malaysia sentiasa bersedia membantu negara anggota ASEAN yang dilanda bencana, selain menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersama-sama ke luar rantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook pada Rabu berkata, bantuan seumpama itu boleh digerakkan sekiranya wujud permintaan daripada negara terjejas, mengikut keperluan dan kemampuan blok 11 negara berkenaan.

Ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-14 di Jakarta, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) turut menekankan bahawa kesiapsiagaan terhadap bencana perlu bermula sebelum tragedi itu berlaku. 

"Setiap amaran awal mesti disusuli dengan tindakan yang jelas supaya agensi, pihak berkuasa dan komuniti tahu bila pemindahan perlu dimulakan serta bantuan dapat digerakkan dengan segera,” katanya dalam hantaran itu.

Ahmad Zahid tiba di Jakarta pada Selasa selepas selesai agenda lawatan di Bali dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Indonesia yang bermula Isnin.

Beliau berkata, di Malaysia, langkah kesiapsiagaan bencana diperkukuh melalui pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, dengan mengambil kira risiko dan keperluan setempat dalam perancangan pembangunan serta perlindungan perkhidmatan asas.

Selain itu katanya, Malaysia turut menyokong pengukuhan kerjasama AMMDM Plus bersama-sama Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand, khususnya dalam latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2026-2030.

"Insya-ALLAH Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA iaitu Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan apabila diperlukan,” katanya.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved