Malaysia sedia jadi tuan rumah GP Bahrain di Sepang

26 Jul 2026 • 7:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia sedia jadi tuan rumah GP Bahrain di Sepang

PETALING JAYA – Malaysia bersedia menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan Bahrain, Formula 1 (F1) serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) terhadap keupayaan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas berpeluang berbincang dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.

“Saya merakamkan penghargaan mendalam kepada Putera Salman, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia.

“Kita berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, F1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook sebentar tadi.

Menurut Anwar, kerjasama itu bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, sebaliknya mencerminkan persahabatan yang kukuh, kepercayaan bersama dan hubungan rapat antara Malaysia dengan Bahrain.

Katanya, penganjuran berkenaan turut mengukuhkan kesediaan serta keupayaan Malaysia dalam menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.

“Malaysia bersedia mengalu-alukan kehadiran semula F1, FIA, pasukan serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang.

“Kita tidak sabar untuk menampilkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra, selain terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan perlumbaan tersebut dijangka akan diadakan sekitar bulan Oktober depan.

Litar F1 Sepang menjadi venue gantian untuk GP Bahrain yang dibatalkan susulan konflik di Asia Barat. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia sedia jadi tuan rumah GP Bahrain di Sepang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved