Malaysia, Singapura perkukuh operasi antidadah menjelang pembukaan RTS Link

15 Sep 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia, Singapura perkukuh operasi antidadah menjelang pembukaan RTS Link

PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura memperkukuh kerjasama strategik serta operasi pencegahan dadah menjelang pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada 31 Disember ini.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pembukaan RTS Link dijangka meningkatkan pergerakan rentas sempadan secara signifikan.

Katanya, perkembangan itu menuntut koordinasi dan kesiapsiagaan mantap daripada agensi penguatkuasaan kedua-dua negara bagi memastikan persekitaran selamat serta bebas daripada ancaman dadah.

Sehubungan itu, beliau berkata, AADK dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura mengadakan Mesyuarat Dua Hala di sini hari ini bagi memperincikan susunan operasi serta mekanisme penyelarasan pegawai.

“Perbincangan turut merangkumi saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama iaitu Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar di Johor serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North di Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ruslin bersama delegasi CNB Singapura yang diketuai Timbalan Pengarah Operasinya, Aaron Tang.

Menurut Ruslin, AADK akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Bukit Chagar dan Woodlands North bagi memperkukuh pengawasan di kedua-dua pintu masuk berkenaan.

Katanya, pada masa sama, kedua-dua agensi meneliti perkembangan ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian.

Jelasnya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini.

“Kejayaan kerjasama dua hala ini tidak hanya diukur melalui perbincangan rasmi, sebaliknya menerusi tindakan susulan konkrit dan praktikal oleh pasukan operasi kedua-dua pihak.

“AADK kekal komited memperkasakan hubungan dalam aspek penguatkuasaan bersama agensi serantau demi melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan serta penyeludupan dadah,” katanya. – UTUSAN 

The post Malaysia, Singapura perkukuh operasi antidadah menjelang pembukaan RTS Link appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved