Malaysia, Singapura selaras pembangunan JS-SEZ menerusi Jawatankuasa Menteri baharu, pelaburan diluluskan cecah RM88.83 bilion

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, Singapura selaras pembangunan JS-SEZ menerusi Jawatankuasa Menteri baharu, pelaburan diluluskan cecah RM88.83 bilion Image from: Malaysia, Singapura selaras pembangunan JS-SEZ menerusi Jawatankuasa Menteri baharu, pelaburan diluluskan cecah RM88.83 bilion liza02/11/2026 - 18:00 Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri) dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov – Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) akan terus memberi tumpuan kepada penyelarasan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM88.83 bilion bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM40.30 bilion atau kira-kira 45% telah dilaksanakan manakala keseluruhan projek yang diluluskan dijangka mewujudkan 28,755 peluang pekerjaan, termasuk 12,796 pekerjaan menerusi projek yang telah dilaksanakan.

 

Perkembangan itu dimaklumkan pada mesyuarat pertama JSCMC 2026 yang berlangsung di Singapura pada 2 Nov 2026.

 

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat.

 

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara dan Pengangkutan Singapura, Sun Xueling serta pegawai kanan kedua-dua negara.

 

t

 

JSCMC gantikan jawatankuasa kerjasama terdahulu

Peralihan daripada Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) kepada JSCMC mencerminkan hubungan kerjasama Malaysia-Singapura yang semakin erat dan meluas.

 

JSCMC akan berfungsi sebagai platform kerjasama di peringkat menteri bagi menetapkan hala tuju strategik, meningkatkan penyelarasan antara kedua-dua negara serta memantau pelaksanaan inisiatif keutamaan di bawah JS-SEZ.

 

Bagi pihak Malaysia, Jawatankuasa Menteri Bersama di bawah JSCMC akan dianggotai Menteri Ekonomi selaku Pengerusi Bersama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Menteri Besar Johor manakala Singapura pula akan diwakili Menteri Pembangunan Negara selaku Pengerusi Bersama, Menteri yang bertanggungjawab bagi Tenaga dan Industri serta Menteri Pengangkutan.

 

Kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan kumpulan kerja berkaitan JS-SEZ, pengangkutan dan bidang lain yang dipersetujui bersama dengan perkembangan pelaksanaannya dilaporkan kepada Jawatankuasa Menteri Bersama.

 

t

 

Infrastruktur dan pelaburan strategik jadi tumpuan

Dalam satu kenyataan media bersama, kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk memastikan kerangka institusi, kawal selia dan operasi yang diperlukan bagi menyokong pembangunan JS-SEZ diwujudkan dengan berkesan.

 

“Jawatankuasa turut menerima laporan kemajuan daripada Jawatankuasa Kerja Bersama JS-SEZ serta kumpulan kerja berkaitan, termasuk usaha menyelaraskan pembangunan infrastruktur dan utiliti dengan pelan pembangunan keseluruhan serta keperluan pelaburan yang dijangkakan.

 

“Kedua-dua negara juga menyambut baik usaha membantu syarikat yang meneroka peluang pelaburan di JS-SEZ menerusi Pejabat Projek JS-SEZ Singapura dan Pusat Pemudahcaraan Pelaburan Malaysia–Johor.

 

“Selain itu, mesyuarat mengambil maklum inisiatif Malaysia di bawah Belanjawan 2027 yang menyokong pembangunan JS-SEZ, termasuk pembangunan Nexus Sedenak, penambahbaikan infrastruktur dan kesalinghubungan pengangkutan serta pemudahcaraan pelaburan strategik,” menurut kenyataan itu.

 

Inisiatif lain termasuk pengukuhan sektor perkhidmatan kewangan di Forest City yang melengkapi usaha kerjasama dua hala bagi meningkatkan daya saing JS-SEZ.

 

Jawatankuasa Kerja Bersama JS-SEZ turut membentangkan kemajuan pelaksanaan inisiatif berkaitan misi promosi dan libat urus pelaburan bersasar, pelaksanaan pelaburan yang diluluskan, kesalinghubungan rentas sempadan serta kerjasama pembangunan bakat antara Malaysia dengan Singapura.

 

Kedua-dua pihak turut bersetuju meneruskan perbincangan bagi memperincikan aturan pelaksanaan kumpulan kerja serta Terma Rujukan (TOR) JSCMC yang dikemas kini menjelang mesyuarat seterusnya di Malaysia pada 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved