Dialog rancang pelaburan tambahan RM3 bilion di Pengerang hingga 2030

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 4:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dialog rancang pelaburan tambahan RM3 bilion di Pengerang hingga 2030 Image from: Dialog rancang pelaburan tambahan RM3 bilion di Pengerang hingga 2030 hamden30/10/2026 - 16:48

KUALA LUMPUR 30 Okt - Dialog Group Bhd merancang pelaburan tambahan sebanyak RM3 bilion antara 2027 hingga 2030 bagi menyokong pembangunan berterusan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT).

 

Kumpulan itu berkata, pelaburan yang dirancang berkenaan akan berpandukan permintaan pelanggan, daya maju komersial serta keselarasan strategik dengan ekosistem Pengerang yang lebih luas, selaras usaha memperkukuh kedudukan terminal itu sebagai hab penyimpanan dan logistik tenaga serantau terkemuka.

 

“Dialog sedang giat berunding dengan bakal pelanggan dan pemain industri bagi merealisasikan fasa pertumbuhan seterusnya untuk hab tenaga dan perindustrian strategik itu,” katanya sambil menambah perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas perjanjian dimuktamadkan dan kelulusan berkaitan diperoleh.

 

Penyedia perkhidmatan teknikal khusus bersepadu kepada industri minyak, gas dan petrokimia itu berkata, jumlah pelaburan dalam PDT setakat ini melebihi RM14 bilion, mencerminkan komitmen berterusan pemegang saham dan pelanggan, manakala kira-kira 267 hektar tanah masih tersedia untuk pembangunan masa depan.

 

Katanya, peluasan Fasa 3 yang sedang dilaksanakan menerusi perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan BP Singapore Pte Limited kekal mengikut jadual untuk disiapkan menjelang pertengahan 2028.

 

Peluasan itu akan menambah kira-kira 614,000 meter padu kapasiti penyimpanan bagi produk petroleum bertapis dan bahan api bio.

 

Projek Penapisan Bio Pengerang

Selepas peluasan Fasa 3 dan kemudahan penyimpanan tambahan yang sedang dibangunkan oleh Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) bagi menyokong projek Penapisan Bio Pengerang, jumlah kapasiti penyimpanan operasi PDT dijangka meningkat daripada kira-kira empat juta meter padu ketika ini kepada sekitar lima juta meter padu menjelang 2028.

 

Dari segi prestasi operasi, Dialog berkata PDT mengendalikan lebih 2,000 persinggahan kapal dan merekodkan jumlah pengendalian kargo kira-kira 45 juta tan bagi setiap tahun kewangan 2025 dan 2026.

 

Kadar penggunaan terminal itu juga secara konsisten kekal melebihi 90 peratus, mencerminkan permintaan pelanggan yang berterusan.

 

Kumpulan itu turut memperluas keupayaannya dalam infrastruktur tenaga rendah karbon, dengan PT2SB sedang membangunkan tambahan kapasiti penyimpanan khusus sebanyak 272,000 meter padu bagi menyokong projek Penapisan Bio Pengerang.

 

Projek itu akan menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan diesel boleh baharu, dengan penyiapannya dijadualkan pada separuh pertama 2028.

 

Dialog turut berkata, pihaknya sedang giat berunding dengan bakal pelanggan dan pemain industri bagi meneroka peluang pertumbuhan selanjutnya di PDT, khususnya dalam sektor tenaga konvensional, petrokimia, logistik serta industri rendah karbon yang sedang berkembang.

 

Kumpulan itu menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi memperkukuh perdagangan rentas sempadan, pelaburan dan integrasi rantaian bekalan, sekali gus mewujudkan peluang untuk menarik pelaburan tambahan ke Pengerang serta mengukuhkan kedudukannya sebagai hab tenaga dan perindustrian strategik serantau. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved