
KUALA LUMPUR - Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan dalam peruntukan pembangunan jalan luar bandar, sebaliknya kedua-dua negeri itu terus diberi keutamaan dengan peruntukan yang meningkat hampir tiga kali ganda bagi tempoh 2023 hingga 2027 berbanding lima tahun sebelumnya.
Bekas Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata peningkatan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.
Setiap tahun, Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, kedua-dua negeri itu menerima kira-kira separuh daripada keseluruhan perbelanjaan jalan luar bandar negara dengan perbelanjaan sebenar bagi pembangunan jalan luar bandar mencecah RM1.41 bilion tahun ini, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
"Sejak 2023, sebanyak RM4.6 bilion telah dibelanjakan. Setiap tahun kira-kira separuh daripada perbelanjaan jalan luar bandar seluruh negara disalurkan ke Sabah dan Sarawak.
"Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan. Sabah dan Sarawak didahulukan," kata, lapor Bernama.
Mengulas mengenai penangguhan beberapa projek jalan luar bandar, Tengku Zafrul menerusi hantaran di media sosial berkata langkah itu perlu dilihat dalam konteks pengurusan kewangan negara dan peningkatan komitmen kontrak yang melebihi peruntukan asal diluluskan Parlimen.
Beliau berkata sejak 2022, perbelanjaan jalan luar bandar setiap tahun telah melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen, sekali gus menyebabkan komitmen kontrak terus meningkat sehingga berlaku tunggakan bayaran kepada kontraktor.
Menurutnya Kementerian Kewangan (MoF) perlu mengimbangi keperluan peruntukan semua kementerian termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.
"Apabila sebuah kementerian membuat komitmen melebihi peruntukan yang diluluskan, MoF terpaksa mencari jalan untuk menampungnya.
"Dalam kes ini, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi 2026, menggunakan hasil penjimatan daripada peruntukan pembangunan kementerian lain supaya tunggakan kepada kontraktor dapat dijelaskan," katanya.
Tengku Zafrul menegaskan penangguhan kontrak baharu tidak bermaksud projek sedia ada dibatalkan dan MoF pula tidak pernah mengeluarkan arahan untuk membatalkan projek berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata penangguhan kontrak baharu dilaksanakan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat dan memastikan komitmen kewangan kerajaan kekal terkawal.
"Penangguhan kontrak baharu juga tidak bererti projek sedia ada dibatalkan. MoF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan. Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat. Itu dua perkara yang berbeza," katanya.
Pengurusan kewangan negara, katanya perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira bukan sahaja kelulusan sesuatu projek, malah keupayaan kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi untuk membiayai pelaksanaannya.
Menurutnya kerajaan memahami keperluan penduduk di kebanyakan kampung di Sabah dan Sarawak yang masih menantikan kemudahan jalan raya yang lebih baik justeru Bajet 2027 terus menyediakan RM2.27 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar selain RM34.9 bilion untuk Sabah dan Sarawak, iaitu jumlah tertinggi antara semua negeri.
"Sabah dan Sarawak tidak wajar dijadikan modal politik oleh sesiapa. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, peruntukan sahaja tidak mencukupi tanpa tadbir urus yang baik.
"Apa yang penting projek dilaksanakan, kontraktor dibayar dan rakyat mendapat manfaat. Itulah keutamaan kita," katanya. - 1 November, 2026
The post Sabah, Sarawak tidak dipinggir, peruntukan naik tiga kali ganda bagi 2023-2027: Zafrul appeared first on Scoop.






