Malaysia Techlympics 2026 perkasa bakat STI negara

LocalTechnology
18 Aug 2026 • 11:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia Techlympics 2026 perkasa bakat STI negara

PENGANJURAN pertandingan Malaysia Techlympics 2026 (MT2026) menjadi antara inisiatif kerajaan dalam usaha mempertingkat minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Zon Selatan menjadi destinasi pertama membuka tirai pertandingan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of

Management and Technology (TAR UMT) Kampus Cawangan Segamat, Johor pada bulan lalu.

Seramai 2,300 peserta dari 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi di Johor serta Melaka telah layak ke peringkat Zon Selatan sekali gus layak bersaing ke Peringkat Akhir Kebangsaan.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, penganjuran pertandingan tersebut seiring dengan matlamat kementerian membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Pendekatan itu ditumpukan kepada kumpulan sasar sama ada secara praktikal (hands-on) atau tidak formal melalui kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan pertandingan melibatkan pelajar termasuk belia di semua peringkat umur, jantina serta kaum.

“MOSTI komited dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif untuk memupuk minat para pelajar dan belia terhadap STI menerusi program Malaysia Techlympics.

“Antara teknologi yang sedang berkembang pesat adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) yang banyak diguna pakai dalam bidang perniagaan dan industri.

“Pada tahun ini terdapat dua pertandingan berasaskan AI iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI telah diperkenalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Image from: Malaysia Techlympics 2026 perkasa bakat STI negara
Seramai 2,300 peserta dari 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi telah layak ke peringkat Zon Selatan Malaysia Techlympics 2026.

Dengan anggaran penyertaan seramai 1.8 juta orang muda sepanjang tahun ini, program tersebut diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga berdaya saing dan inovatif.

Peringkat Akhir Kebangsaan dijadualkan berlangsung di Malaysia Agro Exhibition Park Serdang (MAEPS), Selangor pada November nanti.

Melalui penganjuran ini, MOSTI berharap dapat memperluas akses masyarakat terhadap ilmu STI terutamanya di kawasan pedalaman sekali gus mengukuhkan peranan sains dan teknologi sebagai pemacu utama kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat menuju wawasan Malaysia Madani.

Program ini juga meneruskan komitmen terhadap keterangkuman dengan memberi penekanan kepada penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Sebanyak 90 pertandingan ditawarkan merangkumi 182 modul STI pada tahun ini berbanding 93 modul STI pada 2025 termasuk tenaga baharu, dron, robotik, kejuruteraan, forensik, percetakan 3D (dimensi), AI, keselamatan siber, pengkomputeran awan, bioteknologi dan teknologi hijau.

Siri pertandingan itu kemudiannya diteruskan ke beberapa zon lain di seluruh negara dengan Zon Tengah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), diikuti Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang

Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Zon Timur 2 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Seterusnya, pertandingan menjengah Zon Utara di Kulim Hi-Tech Park sebelum diteruskan ke Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berakhir di Zon Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak.

The post Malaysia Techlympics 2026 perkasa bakat STI negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved