R2G 2026 Southern hubungkan perniagaan Johor dengan teknologi, pelaburan

Business & Finance
14 Aug 2026 • 7:38 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: R2G 2026 Southern hubungkan perniagaan Johor dengan teknologi, pelaburan

PETALING JAYA: Program Road to Growth (R2G) 2026 Southern anjuran Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menjadi platform menghubungkan syarikat dan perusahaan teknologi di Johor dengan peluang teknologi, pelaburan, pengkomersialan serta pasaran.

Program berkenaan dianjurkan bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) selaku Rakan Kongsi Ekosistem Strategik, susulan kejayaan R2G 2026 Sabah pada Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Mohammad Hazani Hassan berkata, peluang berkenaan perlu disokong dengan akses kepada pasaran, pelaburan, rakan industri dan sokongan pengkomersialan yang bersesuaian.

“Johor mempunyai asas perindustrian yang kukuh dan hubungan serantau yang semakin berkembang, sekali gus menawarkan peluang besar kepada syarikat teknologi Malaysia.

“Bagaimanapun, usaha menterjemahkan peluang ini kepada pertumbuhan perniagaan yang mampan memerlukan lebih daripada teknologi yang berpotensi. Syarikat juga perlu mempunyai akses kepada pasaran, pelaburan, rakan industri dan sokongan pengkomersialan yang tepat,” katanya.

Tambahnya, menerusi R2G, MTDC menghimpunkan elemen berkenaan bagi menghubungkan perniagaan dengan ekosistem lebih luas untuk membantu mereka bergerak daripada pembangunan teknologi kepada penggunaan, kejayaan komersial dan peluasan skala.

Penganjuran R2G 2026 Southern bertepatan dengan perkembangan ekonomi Johor yang mencatat pertumbuhan tertinggi antara negeri-negeri di Malaysia pada 2025 iaitu 8.0 peratus, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM170.9 bilion.

Johor turut kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK negara, disokong sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Kedudukan strategik negeri itu menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut membuka peluang lebih besar dalam sektor bernilai tinggi seperti pembuatan termaju, aeroangkasa, peranti perubatan, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital.

R2G 2026 Southern merupakan kesinambungan siri program R2G 2026 yang sebelum ini diadakan di Wilayah Tengah dan Sabah.

Menerusi siri berkenaan, MTDC berusaha memperluas akses kepada ekosistem pengkomersialan teknologi Malaysia selain memperkukuh hubungan antara kerajaan, industri, akademia, pelabur dan syarikat teknologi di seluruh negara.

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian membabitkan MTDC, IRDA, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN Johor), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta rakan ekosistem lain.

Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada landskap ekonomi dan inovasi Johor, pengkomersialan teknologi, peluang pelaburan, pembangunan bakat serta kerjasama strategik dalam menyokong perusahaan berteraskan inovasi.

Selain itu, bengkel khas MySTI turut diadakan dengan penyertaan wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MRANTI serta syarikat yang diiktiraf MySTI.

Bengkel tersebut memberi pendedahan berkaitan pengesahan teknologi, kerangka pengiktirafan MySTI, peluang perolehan kerajaan serta laluan bagi teknologi tempatan mendapatkan akses pasaran yang lebih luas.

Peserta juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai MTDC dan rakan ekosistem bagi membincangkan keperluan perniagaan serta meneroka sokongan dalam aspek pembiayaan dan fasilitasi pelaburan, khidmat nasihat perniagaan, pembangunan keupayaan dan kerjasama strategik. – UTUSAN

The post R2G 2026 Southern hubungkan perniagaan Johor dengan teknologi, pelaburan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved