
SHAH ALAM, 28 NOV: Malaysia tidak ada halangan menambah beberapa acara sukan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di negara ini pada 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata negara komited untuk terus mempromosikan sukan, termasuk yang dicadangkan Indonesia, namun ia perlu mendapat persetujuan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
"Baru-baru ini, ada kontroversi sedikit (mengenai) Sukan SEA. Presiden Indonesia (Prabowo Subianto) sebut pada saya, boleh tak tambah dua tiga jenis sukan yang diminta.
"Saya tidak ada halangan, saya tanya KBS (Kementerian Belia dan Sukan), tidak ada halangan dan kita ikut proses Jawatankuasa Sukan SEA.
"Kita sokong jika penambahan (acara sukan), kita tidak mahu menghalang. Ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Malaysia, kita beri galakan, cuma prosesnya itu, kita ikut keputusan SEAGF," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.




