Malaysia terus jejak 54 rakyat hilang di Nepal

5 Oct 2026 • 1:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia terus jejak 54 rakyat hilang di Nepal

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar terus mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana di Nepal, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negara berkenaan kini telah beralih kepada fasa pemulihan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis di Nepal untuk menjejaki keberadaan mereka, termasuk membuat semakan rekod pendaftaran di setiap pos yang dilalui mangsa.

“Kita minta polis tempatan untuk periksa buku-buku kerana mereka perlu mendaftar dan menulis nama di buku catatan di setiap pos yang mereka lalui.

“Tetapi ia memerlukan masa dan kerjasama yang kita dapat daripada pihak keselamatan Nepal amat baik. Dan kita berharap supaya ‘keajaiban’ boleh berlaku,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (Pas-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Khairil Nizam meminta menteri menjelaskan tentang status kerajaan apabila pihak Nepal telah beralih kepada fasa pemulihan dalam proses pencarian mangsa yang masih lagi hilang.

Mohamad turut berkata, setakat hari ini, seramai 54 rakyat Malaysia masih dikategorikan hilang dan belum dapat dikesan susulan bencana banjir besar melanda Nepal pada 26 Ogos lalu.

Katanya, jumlah itu berkurang daripada 55 orang selepas seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi, hadir sendiri ke pejabat perwakilan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober lalu dan memaklumkan bahawa beliau selamat.

“Setakat hari ini Kementerian Luar Negeri mahu melaporkan bahawa 54 orang rakyat Malaysia itu masih dalam kategori hilang dan tidak dapat dikesan. Banyak kementerian dan agensi sedang bekerjasama membantu keluarga terdekat untuk mengurus dan memudahkan mereka terutamanya berurusan dengan kedutaan kita di sana,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memaklumkan pihak Nepal sedang berusaha membuat pindaan supaya sijil kematian mangsa bencana boleh dikeluarkan lebih awal berbanding tiga tahun tempoh yang ditetapkan kerajaan Nepal.

“Kita mahu supaya dibuat satu pindaan dan mereka sedang berusaha untuk meminda dan membuat pindaan supaya sijil-sijil kematian dapat dikeluarkan segera.

“Di sini pula berbagai agensi sedang bekerjasama untuk memberi bantuan dan juga memudah cara kepada terutamanya pihak Jabatan Peguam dan juga pihak Bank Negara serta Jabatan Pendaftaran Negara kerana ada urusan perbankan,pendaftaran dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

The post Malaysia terus jejak 54 rakyat hilang di Nepal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved