
PETALING JAYA: Keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan dalam tragedi banjir Nepal kini mempertimbangkan untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas masih belum mendapat peluang bertemu Perdana Menteri.
Jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, pertimbangan itu dibuat selepas permohonan pertemuan secara langsung dengan Perdana Menteri masih belum direalisasikan sehingga hari ke-41 tragedi berkenaan.
Menurut beliau, keluarga terbabit mahu menyampaikan sendiri keadaan, kebimbangan dan keperluan mereka, selain mendapatkan perhatian terhadap pelbagai persoalan yang masih belum diselesaikan.
“Permohonan menghadap Yang di-Pertuan Agong ini bukan bertujuan untuk mempolitikkan perkara ini atau mempertikaikan mana-mana pihak.
“Sebaliknya, ia adalah satu usaha keluarga untuk mendapatkan perhatian, perlindungan dan bantuan institusi tertinggi negara dalam keadaan saluran yang telah digunakan selama ini masih belum memberikan penyelesaian yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi selepas bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu, dengan usaha mengesan serta mengesahkan status mereka masih diteruskan walaupun operasi mencari dan menyelamat di negara itu telah ditamatkan.
Dalam pada itu, MASFIH berkata pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi daripada Wisma Putra, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung permohonan pertemuan yang dikemukakan, termasuk tarikh pertemuan.
Katanya, tiada perkembangan turut diterima berhubung status 20 sampel DNA tambahan yang dihantar ke China serta permintaan waris untuk mendapatkan akses kepada katalog barangan peribadi yang ditemui di Gyirong atau Kerung.
Menurut MASFIH, keluarga kini turut berdepan beban kewangan dan perundangan membabitkan pinjaman rumah, kenderaan dan peribadi, selain urusan insurans, aset serta kepentingan kewangan mangsa yang masih belum mempunyai status undang-undang.
“Banyak daripada perkara ini sebenarnya boleh dibantu melalui penyelarasan dan campur tangan Kerajaan dan apa yang diperlukan oleh keluarga ialah akses kepada agensi berkaitan, penjelasan yang jelas serta penyelesaian praktikal,” katanya.
MASFIH berkata keluarga tidak sepatutnya menjadi mangsa kedua tragedi berkenaan selepas 41 hari terpaksa melalui penantian, kebimbangan dan trauma, selain memikirkan cara menguruskan komitmen kewangan serta persoalan perundangan yang semakin menekan.
Pada masa sama, MASFIH menegaskan pihaknya masih berharap Perdana Menteri dapat bertemu keluarga terbabit atau sekurang-kurangnya beberapa wakil mereka dalam masa terdekat bagi membolehkan isu berkenaan dibincangkan secara terus. – UTUSAN
The post 41 hari menanti khabar, MASFIH pertimbang mohon menghadap Agong appeared first on Utusan Malaysia.






