Malaysia teruskan rundingan dengan AS, bimbang tarif 300% ke atas semikonduktor, kata Tengku Zafrul

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia teruskan rundingan dengan AS, bimbang tarif 300% ke atas semikonduktor, kata Tengku Zafrul

image is not available

19/08/2025 - 11:03

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Malaysia akan meneruskan rundingan secara berterusan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif, meskipun terdapat kemungkinan cukai sehingga 300% dikenakan terhadap cip dan semikonduktor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, AS adalah pelabur terbesar di Malaysia, rakan dagang kedua terbesar selepas China dan pasaran eksport utama dunia yang memerlukan kerajaan mengambil pendekatan lebih strategik serta diplomatik dalam menangani isu tersebut.

“Kita tidak mampu untuk bertindak balas, namun apa yang penting adalah terus menjalinkan rundingan,” katanya dalam temu bual bersama CNBC Squawk Box Asia, semalam.

Walaupun tarif baharu AS ditetapkan pada kadar 19% terhadap produk yang dihantar ke negara itu, ancaman pengenaan tarif sehingga 300% ke atas cip dan semikonduktor dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menurut Tengku Zafrul, perkara itu masih dalam proses siasatan kerana AS membuat penilaian di bawah ‘Section 232 of the US Trade Expansion Act’ untuk menentukan sektor yang akan dikenakan tarif.

“Itu bermaksud mereka masih belum membuat keputusan. Apa yang kita dengar pada awalnya ialah kadar 100%, tetapi kini disebut 300%.

“Rundingan masih berjalan. Ia akan menjadi kebimbangan sekiranya mencecah tahap yang boleh menjejaskan sektor semikonduktor,” jelasnya.

Tambahnya, rantaian bekalan semikonduktor bukan hanya melibatkan Malaysia tetapi hampir semua negara ASEAN serta berkait rapat dengan pasaran AS, China dan Eropah.

“Ini bermakna kesannya bukan hanya kepada Malaysia atau ASEAN, malah global,” ujarnya.

Ketika ini, kira-kira 60% eksport Malaysia ke AS terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E), dengan separuh daripadanya adalah semikonduktor.

Namun buat masa ini, eksport semikonduktor Malaysia masih terkecuali daripada tarif AS.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menyatakan, tarif baharu ke atas cip dan semikonduktor import boleh dilaksanakan seawal minggu ini dengan kadar sehingga 300%.

Selepas beberapa bulan rundingan, Malaysia mencapai persetujuan kadar tarif 19%, sama seperti Indonesia dan Thailand.

Vietnam pula menerima kadar lebih tinggi iaitu 20%, manakala Singapura yang berorientasikan sektor perkhidmatan menikmati kadar tarif lebih rendah pada 10%.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dalam rundingan tersebut, Malaysia tegas mempertahankan beberapa “garisan merah”.

“Terdapat beberapa garisan merah yang kita bangkitkan ketika rundingan tarif dan mereka memahaminya.

“Bagaimanapun, keputusan Malaysia untuk tidak berkompromi terhadap semua permintaan AS kerana tidak bersetuju dengan beberapa syarat yang diketengahkan, mungkin antara sebab negara dikenakan kadar tarif pada 19%, “ katanya. - DagangNews.com

standard