Selepas Bertemu CEO Intel, Trump Tidak Lagi Meminta Beliau Dipecat

WorldTechnology
12 Aug 2025 • 8:43 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Minggu lalu Presiden Donald Trump menggesa CEO Intel, Lip Bu Tan dipecat kerana beliau mempunyai hubungan dalam beberapa syarikat di China. Ini meletakkan Intel di kedudukan yang goyah untuk menerima pengecualian tarif 100% ke atas cip dan semikonduktor yang diumumkan Trump juga pada minggu lalu.

image is not available
Lip Bu Tan

Semalam Tan melakukan pertemuan dengan Trump di White House dan hasilnya Presiden Amerika nampaknya telah melembutkan pendirian peribadi beliau. Dalam perkongsian di Truth Social, Trump berkata pertemuan tersebut adalah sangat menarik kerana Tan berkongsi kisah kebangkitan beliau yang menakjubkan.

Hasilnya Tan dan ahli kabinet Trump seperti bersama Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent akan meluangkan lebih masa bersama sebelum membawa beberapa cadangan kepada Trump. Dalam kenyataan yang dikeluarkan Intel, syarikat berkata perbincangan mengenai komitmen Intel untuk mengukuhkan kepimpinan teknologi dan pembuatan Amerika Syarikat telah dilakukan. Intel turut menghargai kepimpinan Trump untuk memajukan keutamaan kritikal dan berharap dapat bekerjasama dengan beliau dan pentadbirannya bagi memulihkan semula kehebatan syarikat.

Intel telahpun membina beberapa faundri di Amerika Syarikat di bawah akta CHIPS Presiden Biden. Secara teorinya Intel layak menerima pengecualian Tarif seperti yang diterima TSMC, Samsung dan SK Hynix.