Malaysia-Thailand sepakat banteras jenayah transnasional

4 Sep 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia-Thailand sepakat banteras jenayah transnasional

HAT YAI: Malaysia dan Thailand sepakat memperkukuh benteng keselamatan di sepanjang sempadan bagi mengekang ancaman jenayah transnasional termasuk penyeludupan, pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.

Persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC) kali ke-119 di sini kelmarin, yang turut memperkukuh mekanisme pertukaran risikan dan penyelarasan operasi antara agensi keselamatan kedua-dua negara.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, mesyuarat dipengerusikan bersama Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal manakala Thailand diwakili Panglima Tentera Wilayah 4, Leftenan Jeneral Norathip Poynok.

“Mesyuarat bertujuan bertukar-tukar maklumat bagi melin­dungi orang ramai dan meningkatkan kepercayaan merentasi sempadan.

“Selain itu, pertukaran risikan dan penyelarasan antara agensi kedua-dua negara khususnya di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia turut dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, kedua-dua pihak turut beri perhatian kepada penyepaduan teknologi dan sistem biometrik bagi memperkukuh pengesahan dan pertukaran maklumat, sekali gus meningkatkan keselamatan sempadan.

“Pada masa sama, persediaan sedang dibuat untuk bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) bagi pastikan kedua-dua negara dapat bertindak balas terhadap kecemasan dan membantu rakyat dengan segera,” ujarnya.

Beliau berkata, pembangunan komuniti sempadan dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar menjadi keutamaan selain usaha membina hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Katanya, kedua-dua negara juga bersetuju meneruskan pembangunan enam kumpulan kerja dan menggunakan mekanisme RBC sebagai saluran utama menyelaras kerjasama. –UTUSAN

The post Malaysia-Thailand sepakat banteras jenayah transnasional appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved