
KOTA TINGGI - Malaysia tidak akan mempertimbangkan penghantaran pasukan pengaman ke Yaman selagi konflik di negara itu masih berterusan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan untuk menghantar pasukan pengaman hanya akan dibuat selepas wujud persetujuan damai antara pihak-pihak yang bertelagah, selain mengambil kira keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata Malaysia tidak akan membuat keputusan berhubung perkara itu secara bersendirian, sebaliknya akan mempertimbangkan pendirian serta keputusan PBB.
“Apabila negara-negara yang terlibat dalam konflik itu bersetuju untuk berdamai, barulah kita menghantar pasukan pengaman bagi memastikan syarat-syarat dalam perjanjian damai dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.
Khaled menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.
Jelas beliau, penghantaran pasukan pengaman ketika pertempuran masih berlangsung boleh mendedahkan anggota kepada risiko besar, termasuk kecederaan dan kehilangan nyawa.
“Dalam keadaan sekarang, perang masih berlaku. Jika pasukan pengaman masuk ketika peperangan masih berlangsung, sudah tentu terdapat risiko anggota terkorban dan kehilangan nyawa,” katanya.
Katanya, Yaman mempunyai kerajaan yang menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia, manakala kawasan dikuasai kumpulan Houthi pula terbabit dalam konflik dengan Arab Saudi.
Malaysia sebelum ini turut menyertai operasi pengaman PBB di Lubnan menerusi Batalion Malaysia (MALBATT), dengan penugasan anggota tertakluk kepada mandat PBB serta pengaturan antarabangsa yang berkaitan.
Sementara itu, Khaled yang juga Naib Presiden UMNO enggan mengulas lanjut mengenai laporan bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menawarkan untuk meletakkan jawatan.
Beliau berkata setakat ini, dirinya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Saya juga tidak tahu sama ada beliau mahu meletakkan jawatan atau sudah menawarkan untuk meletakkan jawatan.
“Namun, akhirnya keputusan mengenai perkara itu tetap bergantung kepada pihak yang berkaitan,” katanya. - Getaran, 20 September 2026




