
KUALA LUMPUR – Kadang-kadang, benda paling simple lah yang paling buat kita terhibur. Tak perlu skrip atau drama besar, cukup gelagat spontan dengan Bahasa Malaysia ‘rojak’ sikit pun dah boleh buat satu Malaysia ketawa. Sampai ada yang mengaku ulang tengok berkali-kali sebab terlalu comel.
Tular menerusi Instagram sebuah video yang dikongsikan oleh pemilik akaun @jiarx_uan, memaparkan dua rakyat Malaysia berbangsa Cina bertutur menggunakan Bahasa Malaysia.
Menerusi perkongsian tersebut, dia menulis kapsyen “this is war of Malaysian” bersama tanda pagar #funny #malaysian. Manakala di dalam video pula tertera ayat “malaysian tak tau BM”.
Dengan nada berseloroh, situasi itu menggambarkan mereka seperti pasangan suami isteri yang sedang ‘bergaduh manja’.
Dalam video tersebut, kedua-duanya dilihat seolah-olah bertekak mulut menggunakan Bahasa Malaysia yang agak ‘tunggang-langgang’, namun masih boleh difahami.
Walaupun ada kesilapan tatabahasa, usaha mereka jelas mencuit hati ramai dan membuatkan netizen tidak berhenti ketawa.
Raih lebih 16,000 tanda suka
Video berkenaan kini tular dengan lebih 16,000 tanda suka serta lebih 2,000 perkongsian setakat ini.
Ruangan komen turut dibanjiri pelbagai reaksi lucu, malah ada yang berseloroh menyamakan mereka dengan ‘cina walulu’, ada juga yang bergurau mengatakan situasi itu seperti “dua-dua fail exam tapi saling bertukar jawapan”. Tidak kurang juga yang terhibur dengan dialog rojak mereka sehingga mengaitkan perbezaan ‘nasi’ dan ‘beras’, namun tetap memuji kerana mesejnya masih boleh difahami.
Malah, video tersebut turut menarik perhatian artis terkenal tanah air, Khai Bahar.
“Hahahha kenapa aku ulang-ulang banyak kali tengok video ni. Hahah comei weiii,” tulisnya.
‘Cina walulu’ sekadar lawak, bukan sindiran
Istilah ‘cina walulu’ yang disebut netizen itu sebenarnya merujuk kepada satu sketsa lawak popular oleh pelawak tanah air, Douglas Lim.
Lawak tersebut bukan bertujuan menyindir, sebaliknya memaparkan keharmonian rakyat Malaysia pelbagai kaum yang berkongsi bahasa dalam suasana santai dan penuh humor.
Rata-rata netizen turut menganggap video ini sebagai hiburan ringan yang menggambarkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Kadang-kadang pelat sikit pun tak apa, yang penting kita faham dan boleh gelak sama-sama. Itulah warna sebenar ‘Malaysian style’. – The Malaysian Update
The post “Malaysian Tak Tau BM” – Gelagat Dua Rakyat Malaysia Berbahasa Malaysia Buat Ramai Pecah Perut appeared first on The Malaysian Update.






