PASUKAN Malaysian University membuktikan keunggulan apabila berjaya merangkul kejuaraan kategori lelaki dan wanita Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan 2026 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.
Kejohanan yang menghimpunkan 16 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita dari seluruh negeri itu dari 21 hingga 24 Mei lalu menyaksikan aksi kompetitif serta semangat kesukanan tinggi sepanjang empat hari pertandingan.
Dalam kategori wanita, Malaysian University muncul juara selepas menewaskan Selangor 9-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh bertenaga.
Persembahan mantap sejak awal permainan membolehkan mereka mengawal aksi sebelum menamatkan saingan dengan bergaya.
Sementara itu, pasukan lelaki Malaysian University turut mencipta kejayaan cemerlang apabila menundukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 8-1.
Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan dominasi pasukan universiti dalam kejohanan edisi kali ini.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Muhammad Firdaus Norhashim.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Bahagian Ambilan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Azizul Azrin Mahmor.
Kejayaan berganda itu menjadi bukti komitmen dan kesungguhan atlet Malaysian University dalam memperkasakan sukan sofbol di peringkat kebangsaan, selain mencerminkan pembangunan sukan universiti yang semakin kompetitif dan cemerlang.

