Peminat muzik Indonesia bakal menerima satu lagi kunjungan istimewa apabila kumpulan MALIQ & D'Essentials dijadualkan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur menerusi konsert bertemakan cinta, Satu Malam Romantis Di Kuala Lumpur pada 30 Januari 2027.
Dibawakan oleh YOLO Malaysia, persembahan satu malam itu bakal berlangsung di JIOSPACE dengan mengetengahkan gabungan muzik soul, jazz, funk dan pop yang menjadi identiti kumpulan berkenaan.

Antara lagu popular yang dijangka mengisi malam tersebut termasuk Kita Bikin Romantis, Aduh dan Dia yang cukup dekat dengan peminat mereka.
Menariknya, konsep persembahan kali ini bukan sekadar mengajak peminat menikmati muzik secara langsung, sebaliknya turut membawa tema hubungan dan kenangan bersama insan tersayang.
Menurut wakil YOLO Asia, Ib Harun, muzik mempunyai keupayaan untuk menghubungkan manusia menerusi pengalaman dan memori yang dikongsi bersama.
“Kami percaya setiap kisah cinta ada lagunya yang tersendiri. Muzik mampu mengimbau kenangan dan merapatkan hubungan sesama kita.
“Menerusi Satu Malam Romantis, kami mahu semua orang berkongsi pengalaman ini dengan seseorang yang istimewa, sama ada pasangan, crush anda, sahabat baik ataupun seseorang yang ingin didekati semula,” katanya.
Selain pilihan untuk hadir bersama pasangan, konsep ini turut membuka ruang kepada peminat yang mahu menikmati persembahan berkenaan bersama rakan-rakan.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan pengalaman lebih dekat dengan kumpulan itu, pakej tambahan Soundcheck Experience + Meet & Greet turut ditawarkan pada harga RM198 seorang.
Pakej terhad berkenaan merangkumi akses menyaksikan sesi soundcheck, peluang bertemu MALIQ & D'Essentials, sesi fotografi berkumpulan bersama anggota kumpulan serta poster bertandatangan.
Bagaimanapun, pakej tambahan itu tidak termasuk tiket masuk konsert dan perlu dibeli bersama tiket konsert dalam satu transaksi.

Harga tiket ditawarkan pada RM498 bagi tempat duduk premium, RM398 untuk Cat 1 dan RM298 bagi Cat 2.
Jualan pra-jualan eksklusif akan bermula pada 11 November 2026, jam 11 pagi hingga 14 November 2026, jam 11.59 malam. Peminat perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu menerusi laman web YOLO Asia dan menggunakan alamat e-mel berdaftar yang sama ketika pembelian.
Sementara itu, jualan tiket umum akan dibuka pada 16 November 2026, jam 11 pagi, tertakluk kepada ketersediaan tiket.
Untuk maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan perkembangan konsert, peminat boleh mengikuti saluran rasmi YOLO Malaysia. - Getaran, 10 November 2026





![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)
