Fazley lamar Vida secara ‘live’, beri cincin bentuk tiara

EntertainmentLifestyle
10 Nov 2026 • 10:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Fazley lamar Vida secara ‘live’, beri cincin bentuk tiara

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob membuat kejutan romantis dengan melamar usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) secara siaran langsung di atas pentas Konsert Tiktok 11.11 Mega Syok di sini, hari ini.

Menurut Vida, 56, dia mengakui terkejut dengan lamaran tersebut dan menyifatkannya sebagai pembuka kepada pintu kebahagiaan dalam hidupnya selepas ini.

“Jawapan saya yes, yes dan yes (ya), terima kasih sayang.

“Adakah ini permulaan kepada semua benda besar termasuk doa untuk berbahagia dengan pasangan.

“Ini semua pembuka pintu kepada kebahagiaan itu,” katanya dalam nada sebak.

Lamaran dalam sebuah konsert yang disiarkan menerusi TikTok Live itu diserikan dengan persembahan sebanyak 1,200 buah dron membentuk mesej “nak duduk Ipoh ke KL?” bersama pemberian cincin dan penglibatan anak-anak kedua-dua belah pihak.

“Pada saya, DSV ialah ‘Queen of TikTok’. Jadi, sudah sepatutnya kita meraikan dia dalam dunia yang selama ini banyak meraikan dan menyokongnya.

“Ramai pengikut mengenalinya melalui TikTok dan sentiasa mengikuti siaran langsungnya. Sebab itu saya mahu melamarnya menerusi platform yang dekat dengan hati dan pengikutnya,” katanya.

Lamaran yang menelan bajet besar dangan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM500,000, sekali gus mengesahkan keseriusan hubungan mereka yang sebelum ini yang sering menjadi perhatian masyarakat.

Fazley berkata, lamaran tersebut membuktikan dia sememangnya serius dengan hubungan bersama Vida.

“Selama ini ramai bertanya sama ada hubungan kami benar-benar serius, sekadar kandungan media sosial atau sebenarnya sudah berkahwin.

“Jadi, saya mahu memberikan jawapan yang jelas kepada masyarakat,” jelasnya yang membuat persiapan sejak dua minggu lalu.

Menurut Fazley, lamaran terbuka itu juga menjadi pengumuman kepada masyarakat mengenai status hubungan mereka sebagai dua figura awam yang sering berkongsi perkembangan kehidupan dalam media sosial.

Fazley turut menyampaikan dua buah lagu sebelum kejutan tersebut, termasuk Di Alam Fana Cinta yang merupakan antara lagu kegemaran Vida.

Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, diinspirasikan daripada kegemaran Vida memakai mahkota atau crown.

Rekaan itu merupakan satu-satunya yang dihasilkan khusus untuk Vida, sekali gus menjadikannya simbolik kepada keistimewaan wanita tersebut di mata Fazley.

Kejutan lamaran hari ini juga turut mendapat restu empat orang anak Fazley dan dua cahaya mata Vida.

Terdahulu, Vida mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sebuah hantaran yang mendakwa dia dan Fazley sudah bertunang dan sedang melalui dugaan fasa tersebut ketika ini.

Hubungan mereka mula rapat selepas menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2).– KOSMO! ONLINE

The post Fazley lamar Vida secara ‘live’, beri cincin bentuk tiara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved