
KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida akhirnya menerima lamaran penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob dalam satu kejutan romantis bernilai kira-kira RM500,000 yang diserikan dengan persembahan 1,200 dron, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hubungan mereka.
Lamaran istimewa yang berlangsung dalam sebuah konsert dan disiarkan menerusi TikTok Live itu turut menyaksikan Fazley menghadiahkan sebentuk cincin eksklusif berbentuk tiara kepada Vida, selain membabitkan anak-anak kedua-dua belah pihak dalam momen penuh bermakna tersebut.
Lebih istimewa, persembahan dron berkenaan membentuk mesej “Nak Duduk Ipoh ke KL?”, manakala Fazley turut menyampaikan dua buah lagu, termasuk Di Alam Fana Cinta yang menjadi antara lagu kegemaran Vida.
Detik berkenaan bukan sahaja menjadi pengumuman terbuka mengenai keseriusan hubungan mereka, malah menjawab pelbagai spekulasi yang sebelum ini mengaitkan kemesraan pasangan itu sebagai gimik atau strategi pemasaran di media sosial.
Menurut Fazley, perancangan untuk melamar Vida sudah bermula kira-kira dua hingga tiga minggu lebih awal, dengan persiapan intensif dilakukan selama hampir 14 hari.
Katanya, pemilihan TikTok sebagai platform lamaran dibuat kerana pengaruh besar Vida dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya di Malaysia dan Singapura.
“Pada saya, DSV ialah ‘Queen of TikTok’. Jadi, sudah sepatutnya kita meraikannya dalam dunia yang selama ini banyak meraikan dan menyokongnya.
“Ramai pengikut mengenalinya melalui TikTok dan sentiasa mengikuti siaran langsungnya. Sebab itu saya mahu melamarnya menerusi platform yang dekat dengan hati dan pengikutnya,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata Fazley, dia memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, mengambil inspirasi daripada kegemaran Vida memakai mahkota atau crown.
Rekaan berkenaan merupakan satu-satunya yang dihasilkan khusus untuk Vida, sekali gus menjadikannya simbolik kepada keistimewaan usahawan itu di mata Fazley.
Bagaimanapun, katanya, cincin berkenaan bukan cincin pertunangan rasmi, sebaliknya tanda kesungguhan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat lebih serius.
“Cincin ini adalah simbolik lamaran saya kepada DSV. Ia bukan cincin pertunangan, tetapi tanda bahawa hubungan kami serius.
“Selama ini ramai bertanya sama ada hubungan kami benar-benar serius, sekadar kandungan media sosial atau sebenarnya sudah berkahwin. Jadi, saya mahu memberikan jawapan yang jelas kepada masyarakat,” jelasnya.
Difahamkan, perkenalan antara Fazley dan Vida mula berputik ketika kedua-duanya terlibat dalam program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua siaran Astro Ria sebelum ini.
Perkenalan mereka bermula daripada usikan anak perempuan Vida, Cik B, dan anak sulung Fazley, Fariedz Fazley atau Payish, yang akhirnya mengatur pertemuan kedua-duanya di sebuah restoran Jepun.
Untuk rekod, Fazley sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Azrene Soraya Abdul Aziz namun mahligai yang dibina hanya mampu bertahan selama 18 tahun setelah kedua-duanya memilih untuk berpisah pada Oktober 2024.
Manakala Vida pula pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali dengan tiga individu berbeza.
Perkahwinan ketiganya berakhir pada 7 April 2017 selepas tiga tahun bersama dengan bekas suami dikenali sebagai Fairuz Ahmad Zainuddin.
The post Terima kejutan, Vida terima lamaran Fazley Yaakob appeared first on Utusan Malaysia.






