Malique Firdauz dilantik sebagai Pegawai Bertanggungjawab Maybank Islamic

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 5:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malique Firdauz dilantik sebagai Pegawai Bertanggungjawab Maybank Islamic

image is not available

01/08/2025 - 17:08

Malique Firdauz Ahmad Sidique Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Maybank Islamic Berhad (MIB) mengumumkan pelantikan Malique Firdauz Ahmad Sidique sebagai Pegawai Bertanggungjawab berkuatkuasa hari ini.

Beliau yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan, Perbankan Islam Kumpulan dan Ketua, Pelaporan Prestasi Kumpulan, akan menggalas tanggungjawab mengetuai operasi harian Maybank Islamic sehingga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu dilantik secara rasmi.

Pelantikan itu dibuat susulan keputusan Nor Shahrizan Sulaiman, yang sebelum ini menyandang jawatan OIC dan CEO Maybank Islamic meninggalkan Kumpulan bagi meneruskan minat profesional di luar Maybank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata, sumbangan Nor Shahrizan sepanjang 16 tahun perkhidmatannya bersama Kumpulan sangat dihargai.

“Beliau telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan perbankan Islam, khususnya sebagai Timbalan CEO MIB dan Ketua Perbankan Komuniti. Kami mengucapkan terima kasih atas komitmen dan dedikasi beliau selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, proses pemilihan CEO baharu sedang berjalan dengan lancar dan pengumuman akan dibuat sebaik sahaja kelulusan yang diperlukan diterima.

Sementara itu, Malique Firdauz akan terus menjalankan tanggungjawab semasanya dalam Kumpulan, selain mengambil alih urusan harian MIB dalam tempoh peralihan tersebut.

Pelantikan itu bagi memastikan kesinambungan strategi perniagaan dan memperkukuh kedudukan Maybank sebagai peneraju perbankan Islam serantau.- DagangNews.com

standard