“Malu Orang Mengata,” Hakikat Ibu Bapa Kena Ubah Bila Anak Masuk Pendidikan Khas

LocalFamily & Parenting
26 Jun 2026 • 6:56 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

“Malu Orang Mengata,” Hakikat Ibu Bapa Kena Ubah Bila Anak Masuk Pendidikan Khas

“Malu Orang Mengata,” Hakikat Ibu Bapa Kena Ubah Bila Anak Masuk Pendidikan Khas

“Anak saya cuma lambat bercakap…Nanti dah besar, dia okey lah tu.”

“Tak perlulah masuk kelas Pendidikan Khas, nanti orang kata macam-macam.”

Pernahkah dengar atau mungkin anda pernah membisikkan sendiri kata-kata ini? 

Hakikatnya, hari ini masih ramai ibu bapa di negara kita yang berdepan dengan dilema yang cukup besar. 

Apabila anak mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan perkembangan (developmental delay), masalah pembelajaran, atau keperluan khas yang memerlukan perhatian khusus, ada dalam kalangan kita yang memilih untuk menafikan keadaan sebenar.

Kebimbangan yang menebal terhadap stigma masyarakat antara sebab utama perkara ini berlaku.

Namun, sedarlah bahawa dalam membantu perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas, masa adalah faktor paling kritikal. 

Lebih-lebih lagi, menafikan realiti hanya akan merugikan masa depan dan hak anak anda.

Stigma Yang Masih Wujud Dalam Masyarakat

Walaupun kesedaran mengenai Pendidikan khas semakin meningkat, tidak dapat dinafikan masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong program ini. 

Ada ibu bapa yang takut dilabel, risau anak dipandang rendah, atau bimbang mereka akan disisihkan oleh rakan sebaya.

Realitinya, Pendidikan Khas bukanlah satu hukuman atau tanda kegagalan. Sebaliknya, ia adalah bentuk sokongan pendidikan yang direka khas dan diiktiraf secara profesional untuk membantu anak-anak ini mencapai potensi terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Setiap Anak Berhak Mendapat Peluang Yang Sama

Image from: “Malu Orang Mengata,” Hakikat Ibu Bapa Kena Ubah Bila Anak Masuk Pendidikan Khas
Kredit: Bernama

Setiap kanak-kanak dilahirkan dengan keunikan tersendiri. Ada yang cepat menguasai akademik, dan ada pula yang lebih menyerlah dalam kemahiran sosial, seni, sukan, atau pengurusan diri. Anak-anak berkeperluan khas ini cuma memerlukan pendekatan pembelajaran yang berbeza untuk berkembang secara optimum.

Banyak kajian telah membuktikan bahawa intervensi awal mampu memberi kesan positif yang luar biasa. Apabila bantuan profesional diberikan lebih awal, peluang anak-anak ini untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, tingkah laku, dan berdikari akan menjadi jauh lebih tinggi.

Jangan Biarkan Rasa Malu Menjadi Penghalang Masa Depan Anak

Pandangan orang sekeliling atau masa depan anak sendiri, mana yang lebih penting? Tepuk dada tanya selera..

Menangguhkan bantuan yang diperlukan hanya kerana takut dipandang serong boleh menyebabkan anak kehilangan peluang keemasan pada usia kritikal perkembangan mereka. 

Ibu bapa perlu faham bahawa mendapatkan bantuan awal dan menghantar anak ke kelas pendidikan khas bukanlah bermaksud kita mengakui kelemahan mereka. 

Sebaliknya, ia adalah bukti keberanian dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi demi memastikan mereka mendapat masa depan yang terbela.

Apa Itu Pendidikan Khas & Peranannya Menurut KPM?

Image from: “Malu Orang Mengata,” Hakikat Ibu Bapa Kena Ubah Bila Anak Masuk Pendidikan Khas
Kredit: Bernama

Berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pendidikan Khas disediakan untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang merangkumi kategori seperti kurang upaya pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, masalah pembelajaran (seperti Autisme, Down Syndrome, ADHD, Disleksia), atau pelbagai kurang upaya.

KPM mempunyai tiga pilihan sekolah untuk MBPK iaitu sekolah pendidikan khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) 

Peranan Dan Fungsi Pendidikan Khas:

  • Menyediakan Akses Ekuiti: Memastikan MBPK menerima pendidikan yang relevan dan bersesuaian melalui Sekolah Pendidikan Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI) di sekolah harian.

  • Kurikulum & Fasiliti Yang Diadaptasi: Pembelajaran menggunakan kurikulum yang diubah suai mengikut keupayaan, disokong oleh guru terlatih serta kemudahan mesra OKU.

  • Sokongan Intervensi: Membantu membina kemahiran intervensi awal, terapi cara kerja, dan kemahiran hidup (vokasional) agar mereka mampu berdikari apabila dewasa kelak.

Maklumat lanjut mengenai laluan, syarat kemasukan, dan program pendidikan khas bagi  MBPK boleh dirujuk secara rasmi di portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Aspirasi Pendidikan Negara menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 - 2035

Image from: “Malu Orang Mengata,” Hakikat Ibu Bapa Kena Ubah Bila Anak Masuk Pendidikan Khas
Kredit: Bernama

Langkah membimbing anak-anak berkeperluan khas ini adalah selaras dengan hala tuju baharu sistem pendidikan kita melalui Aspirasi Pendidikan Negara 2026-2035. Dalam pelan strategik jangka masa panjang ini, KPM memberikan penekanan yang sangat tinggi terhadap agenda Inklusiviti dan Ekuiti.

Sasaran utama negara bagi tempoh 2026-2035 adalah untuk memastikan tiada seorang pun anak Malaysia yang tercicir daripada sistem pendidikan digital dan modal insan nasional, termasuk golongan MBPK.

Melalui aspirasi ini, sistem sekolah diperkasa dengan ekosistem sokongan yang lebih mantap, akses teknologi yang inklusif, dan laluan kerjaya pasca-sekolah yang lebih jelas untuk anak-anak istimewa ini.

Setiap Anak Berhak Berjaya

Kejayaan pendidikan yang sebenar bukan diukur melalui perbandingan akademik antara anak-anak kita dengan anak-anak orang lain. Penanda aras sebenar adalah sejauh mana setiap anak dapat berkembang, berdikari, dan mencapai potensi terbaik mengikut garis masa mereka sendiri.

Setiap anak berhak diberi peluang. Setiap anak berhak dibimbing. Yang paling utama, setiap anak berhak untuk berjaya dengan cara mereka sendiri.

Buang rasa malu, demi masa depan anak yang kita cintai.




Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved