'Kalau ALLAH izin, naik pentas konvo sama-sama' - Marissa Dania, Maria Danisha sambung belajar, Norman Hakim luah impian seorang bapa

Family & ParentingLifestyle
25 Jun 2026 • 10:56 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Kalau ALLAH izin, naik pentas konvo sama-sama' - Marissa Dania, Maria Danisha sambung belajar, Norman Hakim luah impian seorang bapa

DEBARAN bergelar mahasiswa bukan sahaja dirasai oleh anak-anak, ibu bapa pun turut menjadi individu yang paling teruja apabila permata hati melangkah ke menara gading.

Begitulah yang dirasai oleh pelakon, pengacara dan usahawan, Norman Hakim apabila dua anak perempuannya, Marissa Dania dan Maria Danisha bakal memulakan pengajian dalam bidang Pentadbiran dan Pengurusan Perniagaan tidak lama lagi.

Menerusi hantaran terbaharu di laman Instagramnya, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 50, berkongsi momen meluangkan masa setengah hari membawa kedua-dua puterinya itu meninjau sekitar kampus dan penginapan pelajar.

"Kurang dua minggu lagi sebelum minggu orientasi untuk anak-anak memulakan pengajian.

Image from: 'Kalau ALLAH izin, naik pentas konvo sama-sama' - Marissa Dania, Maria Danisha sambung belajar, Norman Hakim luah impian seorang bapa

"Papa pula yang rasa macam-macam; excited, gembira, berdebar, seram sejuk semua ada," kongsinya.

Berkongsi ruang kampus serba moden, asrama konsep studio apartment juga menarik perhatian Norman.

"Kemudahan yang disediakan bukan sahaja memenuhi keperluan pembelajaran, malah turut memenuhi kehendak generasi hari ini. Sempat juga bertemu para warden dan melawat residensi pelajar.

"Konsepnya seperti studio apartment, alhamdulillah selesa, moden dan kondusif untuk belajar dalam membina kehidupan sebagai mahasiswa," tiitp Norman.

Melihat suasana kampus yang begitu kondusif, Norman secara berseloroh mengakui terdetik di dalam hati untuk kembali bergelar pelajar dan belajar bersama anak-anaknya.

Malah, bapa kepada enam cahaya mata ini turut menyimpan impian untuk berdiri di atas pentas konvokesyen yang sama dengan anak-anaknya suatu hari nanti.

Image from: 'Kalau ALLAH izin, naik pentas konvo sama-sama' - Marissa Dania, Maria Danisha sambung belajar, Norman Hakim luah impian seorang bapa

"Dalam hati terdetik juga, best agaknya kalau dapat sambung belajar sekali dengan anak-anak.

"Siapa tahu, kalau ALLAH izinkan, satu hari nanti dapat sama-sama naik ke pentas konvokesyen menerima ijazah. Itu antara impian yang sedang saya manifestasikan hari ini," titipnya lagi.

Dalam masa yang sama, pelakon Gerak Khas itu memohon doa agar segala perancangan dan urusan dua cahaya matanya dipermudahkan disamping persekitaran positif.

"Semoga setiap kebaikan dalam doa yang dipanjatkan, kembali semula kepada yang mendoakan, malah digandakan dengan keberkatan daripada ALLAH, insya-ALLAH," titipnya.

Sekadar info, Marissa Dania dan Maria Danisha ialah anak Norman daripada perkahwinanya dengan pelakon dan penyanyi Abby Abadi.

Mereka juga memiliki seorang cahaya mata lelaki, Mohd Danish Hakim.

Selepas berpisah dengan Abby pada tahun 2008, Norman berkahwin dengan Memey Suhaiza dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.

Sumber: Instagram

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved