‘Mama tak sabar nak pergi...’ Aliff Syukri sekeluarga bakal tunai umrah bersama 60 staf dan rakan niaga

9 Jun 2026 • 9:35 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Mama tak sabar nak pergi...’ Aliff Syukri sekeluarga bakal tunai umrah bersama 60 staf dan rakan niaga

SIAPA yang tidak kenal dengan pasangan usahawan dinamik, Datin Seri Shahida Mohd Rashid dan suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri yang sentiasa murah rezeki dan suka berkongsi kegembiraan bersama orang sekeliling.

Terbaharu, menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Shahida meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila bakal membawa seramai 60 orang kakitangan dan rakan niaga mereka untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah tidak lama lagi.

Menariknya, rombongan kali ini turut disertai oleh ahli keluarga kakitangan tersebut, sekali gus membuktikan keprihatinan tinggi pasangan ini dalam menghargai tulang belakang perniagaan mereka.

Image from: ‘Mama tak sabar nak pergi...’ Aliff Syukri sekeluarga bakal tunai umrah bersama 60 staf dan rakan niaga

Bukan sekadar menanggung kos perjalanan, Shahida dan suami turut memastikan kebajikan serta persediaan mental dan fizikal semua jemaah berada di tahap terbaik dengan menganjurkan kursus umrah khas di pejabat D’Herbs baru-baru ini.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, debaran dan keterujaan semakin dirasai memandangkan tarikh keberangkatan mereka berbaki sebulan sahaja lagi.

Lebih menyentuh hati apabila melihat raut wajah para pekerja yang begitu gembira, terutama bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke rumah ALLAH.

"Bismillahirrahmanirrahim. Ya ALLAH, permudahkanlah urusan kami semua untuk kami ke Tanah Suci. Genap sebulan lagi mama, papa, kami sekeluarga dan 60 orang staf serta rakan niaga akan berangkat.

"Hari ini kami semua menghadiri Kursus Umrah dekat pejabat D’Herbs. Ramai staf yang pertama kali nak pergi.

"Nampak sangat terpancar keseronokan pada raut wajah mereka. Mama ni pun tak sabar tau nak pergi.

"Semoga dipermudahkan semuanya, amin," kongsinya dengan penuh emosi dan rasa teruja.

Sifat pemurah dan sentiasa mendahulukan pekerja ini bukanlah perkara baharu bagi pasangan kosmetik popular ini.

Image from: ‘Mama tak sabar nak pergi...’ Aliff Syukri sekeluarga bakal tunai umrah bersama 60 staf dan rakan niaga

Bahkan, sebelum ini pasangan tersebut turut menaja percutian mewah buat 200 kakitangan ke Pulau Redang sebagai tanda penghargaan atas kerja keras menaikkan perniagaan.

Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata pengikut dan wargamaya tidak putus-putus memberikan pujian serta menzahirkan rasa kagum dengan sikap pemurah pasangan ini yang tidak pernah kedekut berkongsi rezeki.

Antara coretan murni yang ditinggalkan netizen termasuklah doa agar rezeki keluarga ini terus dilipatgandakan kerana sentiasa menjaga kebajikan pekerja.

"Ya ALLAH, Kau lipat gandakan rezeki Datuk Aliff dan Datin sekeluarga yang selalu kerja kuat bukan untuk mereka sekeluarga sahaja, tetapi selalu berkongsi rezeki dengan staf mereka. Seronok sangat tengok.

Image from: ‘Mama tak sabar nak pergi...’ Aliff Syukri sekeluarga bakal tunai umrah bersama 60 staf dan rakan niaga

"Untung semua yang terpilih pergi dan terpilih oleh-Nya.

"Semoga mendapat umrah yang mabrur," tulis salah seorang wargamaya.

Malah, ada juga yang sempat berseloroh menyuarakan harapan agar pembantu rumah kesayangan ramai, Bibik Tudung, turut tersenarai dalam rombongan murni tersebut selain mendoakan agar urusan ibadah umrah mereka dipermudahkan dan mendapat umrah yang mabrur.