
Mampu Bersaing Dengan PSG Bukti Masa Depan Liverpool Cerah - Slot
Kekalahan 0-2 di laman sendiri dalam aksi suku akhir saingan Liga Juara-juara Eropah ketika melayan kunjungan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) pagi tadi menambah satu lagi episod duka kepada kisah serba tidak menjadi Liverpool pada musim ini.
Liverpool turun dengan aksi jauh lebih baik dan mencipta banyak peluang berbanding apa yang dipersembah pada pusingan pertama di Parc des Princes.
Namun begitu, anak buah Arne Slot terpaksa menelan hakikat bahawa lawan mereka ternyata memiliki penyudah lebih klinikal dalam aksi timbal balik ini.
Masa depan Liverpool cerah, mampu bersaing dengan PSG jadi bukti
Walaupun harapan untuk melihat satu lagi malam kebangkitan penuh gemilang di Anfiled tidak menjadi kenyataan, namun Slot menilai masih ada perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan pagi tadi.
“Saya fikir, kami menunjukkan banyak peningkatan berbanding minggu lepas. Saya harus memberikan pujian kepada para pemain kami di atas kerja keras yang mereka tunjukkan.
“Pujian juga harus diberikan kepada para peminat di stadium, sokongan mereka membantu kami melaksanakan perancangan kami malam ini.
“Apabila kami melakukan high press, ia sangat membantu apabila ada penyokong di belakang kami yang terus memberikan dorongan,” kata Slot.
Malangnya, Slot berkata aksi menentang PSG itu juga menjadi satu daripada banyak contoh di mana Liverpool gagal menjaringkan gol walaupun mencipta deretan peluang.
“Sekali lagi, prestasi kami sangat hambar dari segi jangkaan gol (xG) dan perkara ini nampaknya terus berlarutan sepanjang musim.
“Memburukkan lagi keadaan apabila penyerang kami Hugo Ekitike nampaknya seperti mengalami kecederaan serius, walaupun kami masih tidak pasti sepenuhnya ketika ini.
“Kemudian, satu lagi campur tangan VAR yang tidak memihak kepada kami dan itu juga bukan kali pertama berlaku musim ini.
Baca juga:“Sudah tentu, kami merasa sangat kecewa kerana saya berpendapat, ada waktu-waktu pada separuh masa kedua di mana kami merasakan jika kami menjaringkan gol, malam ini mungkin akan menjadi malam yang sangat istimewa,” kata Slot lagi.
Cipta peluang satu perkara, jaringkan gol itu lebih penting
Walaupun kecewa, Slot berpendapat bahawa skuadnya mempunyai masa depan yang cerah kerana mereka membuktikan mampu bersaing dengan Juara Eropah dan menjadi pasukan yang dominan di stadium sendiri.
Tambahnya, tidak banyak pasukan yang mampu mendominasi PSG dan mencipta banyak peluang seperti yang ditunjukkan oleh Liverpool.
“Tetapi ya, mencipta peluang itu satu perkara, namun menjaringkan gol jauh lebih penting”, kata Slot membuat kesimpulan.


