Mampukah ‘Penyatuan Melayu’ jadi perisai BN di Melaka?

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 8:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mampukah ‘Penyatuan Melayu’ jadi perisai BN di Melaka?

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi akan menjadi cabaran baharu buat Barisan Nasional (BN) untuk mengukur sejauh mana momentum penerimaan masyarakat terhadap parti selepas kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan.

Sudah tentu, kemenangan kukuh semasa PRN Johor dan Negeri Sembilan membolehkan BN membawa naratif sokongan rakyat terhadap gabungan itu sudah kembali namun lebih menarik ia juga membentuk naratif penyatuan Melayu.

Persoalannya, adakah formula dan sentimen yang terbentuk di Johor serta Negeri Sembilan itu boleh berulang di Melaka?
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menetapkan syarat untuk parti itu kekal bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN, selebihnya parti itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang sanggup menerima syarat tersebut.

Berdasarkan perkembangan semasa termasuk menerusi pertemuan Ketua Menteri Melaka dengan pemimpin Pas di Pusat Dagangan Dunia (WTC), BN cenderung meneruskan naratif penyatuan Melayu di Melaka, sekali gus menerima baik kerjasama dengan Pas.

Namun, pada masa sama, BN perlu berdepan satu perkembangan yang berpotensi menjadi ‘peluru’ Pakatan Harapan (PH), iaitu kemelut di Negeri Sembilan yang tercetus selepas kemenangan pilihan raya berkenaan.

Isu berkaitan institusi diraja dan adat Negeri Sembilan yang masih tidak selesai sehingga hari ini mungkin digambarkan sebagai kegagalan BN, sekali gus ia menjadi bahan kempen pada PRN Melaka.

Ditambah pula perkemba­ngan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, turut menambah satu lagi dimensi kepada PRN Melaka kali ini.

Ini bermakna, PRN Melaka boleh menjadi medan kepada beberapa naratif termasuk kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan, gagasan penyatuan Melayu, hubungan BN-PN, kemelut politik Negeri Sembilan serta perkembangan terbaharu membabitkan Najib.

Namun, sejauh mana ke semua naratif itu mampu mempengaruhi pengundi Melaka, ia bergantung kepada bagaimana perkara itu diterjemahkan dalam kempen dan sejauh mana isu nasional mampu mengatasi pertimbangan tempatan.

Dengan BN mempunyai rekod penguasaan 21 daripada 28 kerusi pada PRN 2021, pilihan raya kali ini bukan sekadar ujian untuk mempertahankan pentadbiran tetapi turut menjadi ukuran terhadap kemampuan BN mengekalkan rentak politik yang terbentuk selepas dua PRN terbaharu.

Sudah pasti, Melaka kini menjadi pentas seterusnya untuk menguji sama ada rentetan kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan mampu dite­ruskan dalam landskap politik negeri yang mempunyai pola kenegerian tersendiri.-UTUSAN.

The post Mampukah ‘Penyatuan Melayu’ jadi perisai BN di Melaka? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved