“Mana Ibu, Kenapa Tak Balik Lagi?” – Luahan Anak Tiri Pendaki Hilang Undang Sebak Netizen

LocalLifestyle
1 Jun 2026 • 2:35 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Mana Ibu, Kenapa Tak Balik Lagi?” – Luahan Anak Tiri Pendaki Hilang Undang Sebak Netizen

KUALA LUMPUR – Luahan rindu seorang anak tiri terhadap pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak sejak lebih seminggu lalu mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Menerusi satu hantaran di Threads, Nurr Ashikin Haszman meluahkan kerinduannya terhadap ibu tirinya, Jaslinda Saludin, selepas melihat rakaman imej yang dipercayai memaparkan wanita itu ketika berada di kawasan pendakian berkenaan.

“Mana la ibu, kenapa tak balik-balik lagi. Ibu la orang yang backup Ikin kalau kena marah dengan ayah. Balik la,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang turut bersimpati dengan nasib keluarga mangsa yang masih menanti khabar gembira daripada operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan.

Netizen Turut Tumpang Sebak

Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa sedih selepas membaca perkongsian berkenaan.

Malah, rata-rata mereka turut menitipkan doa agar Jaslinda segera ditemukan dalam keadaan selamat.

Ada yang mengakui sentiasa mengikuti perkembangan kes berkenaan setiap hari, manakala sebahagian lagi meminta keluarga mangsa terus kuat menghadapi dugaan tersebut.

Rakaman Kamera Berjaya Kesan Kelibat Mangsa

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan semakan rakaman kamera pengawasan di kawasan Gunung Batu Putih berjaya mengesan imej Jaslinda.

Menurut kenyataan itu, mangsa dilihat melintasi Kamera 1 pada jam 11.22 pagi, 24 Mei lalu.

Jaslinda, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, wanita itu mengalami kecederaan pada kaki dan sempat berehat di Kem Batu Core bersama seorang pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan serta seorang malim gunung.

Bagaimanapun, Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum gagal dikesan, sekali gus mencetuskan operasi SAR yang masih berlangsung sehingga kini.

Kes berkenaan terus mendapat perhatian masyarakat yang berharap ada petunjuk baharu dapat membantu usaha mengesan mangsa dalam masa terdekat. – The Malaysian Update

The post “Mana Ibu, Kenapa Tak Balik Lagi?” – Luahan Anak Tiri Pendaki Hilang Undang Sebak Netizen appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article