
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kuali atau periuk merupakan alat paling penting dalam menyediakan menu harian.
Buat mereka yang gemar memasak, sudah pastilah pemilihan periuk dan kuali amat penting bagi memastikan keselesaan dan kesesuaian hidangan yang akan disediakan.
Jika dilihat pada masa kini, terdapat pelbagai pilihan kuali dan periuk yang ada dalam pasaran hingga kadangkala boleh pening dibuatnya.
Ada yang bulat, leper dan besar. Itu tidak termasuk lagi jenis bahan untuk membuat alat memasak itu seperti seramik, alumnium atau stainless steel.
Namun tahukah anda, setiap bahan kuali dan periuk mempunyai kelebihan serta kelemahan mereka tersendiri.
Jom kami kongsikan kelebihan dan kelemahan jenis kuali atau periuk untuk dijadikan panduan.
#1 Periuk Atau Kuali Keluli Tahan Karat (Stainless Steel)
Periuk atau kuali jenis stainless steel merupakan antara jenis alat memasak yang mudah terdapat di pasaran.
Ia terkenal dengan sifat ketahanannya terhadap karat dan hakisan. Bukan sahaja tahan lama, ia tidak bertoksik malah boleh diwarisi secara turun temurun jika dijaga dengan rapi.
Rupa bentuknya juga menarik dan bersifat serbaguna serta boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan seperti menumis, merebus dan mengukus.
Kekurangan: Pengaliran haba tidak terlalu efektif jika dibandingkan dengan bahan lain seperti aluminium atau tembaga.
Ia juga menyebabkan makanan mudah hangus dan melekat jika tidak cukup minyak.
Kegunaan: Sesuai untuk kegunaan harian dan masakkan berkuah, menumis dan merebus untuk jumlah sederhana atau banyak.

#2 Periuk Atau Kuali Besi Tuang (Cast Iron)
Alat memasak yang diperbuat daripada besi tuang atau cast iron terkenal dengan ketahanannya yang mampu mengekalkan haba lebih lama.
Lebih menarik, ia boleh menjadi anti lekat semulajadi sekiranya dijaga dan di-seasoning dengan betul.
Malah, ada kajian menunjukkan terdapat sedikit unsur besi yang akan larut ke dalam makanan apabila memasak.
Ini membantu menambah zat besi dalam masakan khususnya buat mereka yang kekurangan mineral ini.
Kekurangan: Periuk atau kuali jenis cast iron lebih berat dan mungkin kurang sesuai untuk mereka yang tidak selesa menggunakan kuali jenis ini.
Malah, ia juga memerlukan penjagaan rapi dengan tidak boleh direndam terlalu lama bagi mengelakkan daripada berkarat.
Walaupun ia mengekalkan haba, namun kuali jenis ini mengambil masa yang agak lama untuk panas.
Kegunaan: Sesuai untuk hidangan seperti ayam panggang, ikan bakar atau apam balik yang memerlukan suhu tinggi dan keseimbangan haba.

#3 Periuk Atau Kuali Anti Lekat (Non-Stick)
Pada masa kini, terdapat banyak kuali atau periuk yang dijual di pasaran bersifat non-stick.
Antara kelebihan alat memasak jenis ia memudahkan proses memasak tanpa perlu risau makanan itu akan melekat.
Malah, ia bersifat jimat minyak memandangkan seseorang itu tidak perlu menggunakan bahan tersebut dengan banyak ketika memasak menggunakan kuali jenis ini.
Kekurangan: Periuk atau kuali jenis ini tidak tahan calar jika menggunakan peralatan logam bersamanya.
Malah, lapisan salutannya mungkin mengandungi bahan kimia toksik seperti PFOA, PTFE atau PFOS jika tidak dibuat dari bahan yang selamat.
Bukan itu sahaja, kebanyakan kuali atau periuk jenis ini tidak tahan lama dan perlu ditukar selepas beberapa tahun penggunaan.
Kegunaan: Sesuai untuk masakan seperti telur goreng, lempeng dan pankek serta makanan yang tidak memerlukan suhu tinggi.

#4 Periuk Atau Kuali Aluminium
Kuali jenis ini juga sering menjadi pilihan ibu-ibu yang suka memasak. Sifatnya yang ringan memudahkan pergerakan untuk mengangkat lebih lagi jika kuantiti hidangan agak banyak.
Selain harganya yang murah, ia membuatkan pengaliran haba menjadi sekata sesuai untuk masakan yang memerlukan kawalan suhu yang tepat.
Kekurangan: Periuk atau kuali jenis ini boleh berubah bentuk sekiranya terjatuh atau terhentak dengan kuat selain mudah calar.
Malah, ia juga bertindak balas dengan masakan berasid seperti tomato dan limau yang boleh merosakkan lapisan aluminium jika tiada lapisan tambahan seperti anodized.
Kegunaan: Ideal untuk penyediaan makanan yang pantas dan kawalan suhu yang cepat.
Individu disarankan membeli jenis ‘anodized aluminium’ yang lebih tahan lama dan sesuai untuk digunakan membuat pelbagai jenis masakan termasuk berasid.

#5 Periuk Atau Kuali Jenis Seramik (Ceramic)
Periuk atau kuali jenis seramik juga kini dilihat semakin mudah dilihat di pasaran,
Ia bersifat mesra alam dimana kebanyakan jenama seramik yang ada bebas PFOA dan PTFE malah permukaan non-stick bersifat semulajadi.
Reka bentuknya yang menarik juga ditambah pula dengan gaya moden membuatkan ramai mahu memilikinya.
Kekurangan: Lapisan seramik boleh haus dan retak jika kuali terhentak atau digunakan pada suhu yang melampau.
Pengaliran habanya yang kurang sekata selain harganya yang agak mahal bergantung kepada jenama.
Kegunaan: Sesuai digunakan untuk masakan tumisan ringan seperti sayuran-sayuran atau telur goreng pada suhu sederhana.

Kesimpulannya, pilihlah kuali atau periuk yang sesuai dengan jenis masakan yang akan disediakan. Paling penting selamat dan selesa untuk digunakan
Jadi, mana satu pilihan anda?
Baca Artikel Berkaitan: Kuali Boleh Jadi Punca Kanser?
Baca Artikel Berkaitan: DIY Mesin Bakar Lemang, Idea Kreatif Peniaga Mudahkan Proses Memasak Buat Ramai Kagum [Video]
Source:



