“Mana surat letak jawatan?”, hantaran penuh emosi Nga Kor Ming dibalas desakan netizen

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 11:49 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

KUALA LUMPUR – Hantaran penuh bermakna yang dimuat naik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Facebook bertukar menjadi medan desakan apabila rata-rata netizen mengingatkannya supaya menunaikan janji meletakkan jawatan susulan perkembangan politik semasa.

Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP menerusi hantaran berkenaan menegaskan beliau masih berpegang kepada impian membina sebuah Malaysia yang lebih baik sejak mula menyertai dunia politik pada 1996.

“Saya telah berjuang. Saya telah melakukan yang terbaik. Tuhan akan melakukan selebihnya. Amin,” katanya.

Bagaimanapun, ruangan komen hantaran itu segera dipenuhi pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mengaitkan kenyataan terdahulu Ahli Parlimen Teluk Intan berhubung kesediaannya melepaskan jawatan sekiranya senario politik tertentu menjadi kenyataan.

Seorang pengguna Facebook, Najib Faiz, secara sinis bertanya sama ada Kor Ming sudah menyediakan surat peletakan jawatan.

“Adakah YB sudah menyediakan surat peletakan jawatan?” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Mohd Afuan, pula menggesa Kor Ming berpegang kepada kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini.

“Jika benar dengan pendirian tersebut, sudah tiba masanya untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Turut menarik perhatian ialah komen daripada pengguna dikenali sebagai Puan Liz yang menawarkan diri membantu menyediakan surat peletakan jawatan.

“Maklumkan kepada kami sekiranya YB memerlukan bantuan menyediakan surat peletakan jawatan. Yang benar, rakyat,” tulisnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Nor Aminuddin, turut menyindir dengan meminta Kor Ming mengemas meja pejabat sebagai simbolik pengunduran.

“Ayuh YB, kemaskan meja pejabat. YB pasti mampu melakukannya,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming dilaporkan menyatakan beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Menurut beliau, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya keadaan tersebut berlaku kerana ia disifatkan sebagai “garis merah” parti itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved