Manfaat acuan kejayaan wanita Sabah: Petronella

LocalFootball
23 Nov 2026 • 4:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Manfaat acuan kejayaan wanita Sabah: Petronella

Kota Kinabalu: Kekuatan dan acuan kejayaan pasukan bola sepak wanita Sabah wajar diteladani dan dimanfaatkan dalam membentuk skuad kebangsaan yang disegani.

Pasukan itu awal bulan ini telah memenangi Liga Wanita Nasional (LWN) dengan menewaskan Selangor 1-0 sekali gus mengulangi pencapaiannya pada edisi 2023 dan 2025.

Selain tiga kejuaraan daripada empat edisi LWN, Sabah turut dinobatkan johan Piala Tun Sharifah Rodziah sebanyak 11 kali serta mencatatkan rekod cemerlang mewakili Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) musim 2024-2025 dan 2026-2027.

Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah Petronella Douny berkata perjalanan itu menuntut perancangan rapi merangkumi aspek infrastruktur, dana akar umbi, pendedahan kompetitif dan laluan kejurulatihan wanita.

Petronella, 39, yang juga satu-satunya jurulatih wanita Malaysia memiliki kelayakan kejurulatihan tertinggi benua Asia, AFC Pro Diploma, berkata aspek infrastruktur latihan merupakan perkara asas yang perlu diberikan keutamaan demi menjamin keselamatan serta keberkesanan persiapan pemain.

“Bagi pandangan peribadi saya, cabaran menghadapi kemudahan latihan masih ada dan padang latihan yang ada perlu dinaik taraf untuk keselamatan dan kesesuaian latihan,” katanya kepada Bernama.

Anak jati Kiulu dilahirkan pada 8 Dis 1987 itu, menegaskan bahawa kekangan dana menjadi penghalang utama kepada usaha mencungkil serta menggilap bakat baharu secara berterusan, selain kekurangan peluang bertanding pada peringkat tinggi.

Dari sudut teknikal pula, beliau berpandangan pemain wanita tempatan perlu diberikan pendedahan awal terhadap penguasaan teknik permainan agar mampu bersaing dalam pentas kompetitif.

Beliau berkata pendekatan taktikal dan teknikal moden itu perlu bergerak seiring dengan pembangunan mental pemain yang diselaraskan mengikut acuan budaya tempatan.

Dalam pada itu, Petronella menekankan keperluan merangka pelan pembangunan modal insan kejurulatihan dan menggesa badan induk seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) menyediakan laluan khas untuk bekas pemain wanita memasuki bidang itu.

“Bimbingan berstruktur daripada pihak berwajib amat penting bagi membolehkan bekas pemain bola sepak wanita yang berminat menceburi bidang kejurulatihan secara profesional,” katanya.

Beliau menegaskan golongan wanita mampu mencipta kejayaan dalam bidang kejurulatihan sekiranya diberikan sokongan moral serta ruang untuk berkembang, selain menyuarakan harapan agar pencapaiannya membuka hati dan memberikan inspirasi kepada wanita lain.

Bermula dengan niat untuk melatih skuad wanita Sabah, Petronella mendapatkan Lesen C (kejurulatihan) pada 2014, Lesen B (2017) dan Lesen A pada 2021 sebelum melengkapkan AFC Pro Diploma tahun ini dan  mengakui tetap bersemangat untuk terus menimba ilmu dalam bidang itu.

Beliau menamatkan Kursus Persatuan Bola Sepak Jepun-AFC Pro-Diploma untuk Jurulatih Wanita Elit selama setahun tiga bulan menerusi tiga modul di Jepun dan satu modul di China yang melayakkan beliau memperoleh AFC Pro Diploma.

“Perancangan ke hadapan sudah pasti ada, tetapi saya ingin berbakti kepada negeri dan negara yang banyak membantu dan menyokong saya selama ini,” katanya yang berharap diberikan ruang untuk menyumbang kepada kemajuan bola sepak wanita tanah air dan melonjakkan lagi mutu bola sepak wanita Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved