
KENINGAU: Seramai 6,952 wanita di Sabah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran, keusahawanan dan pemerkasaan ekonomi yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) bagi tempoh 2022 hingga Julai 2026.
Pengarah Jhewa, Hajah Haslina Ismail berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh keupayaan wanita menjana pendapatan sendiri menerusi latihan, bantuan geran peralatan, program pemasaran serta bantuan pembungkusan dan pelabelan produk.
Beliau berkata Jhewa memberi perhatian khusus kepada pembangunan keupayaan wanita, terutama ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk mereka yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Apabila seorang wanita mempunyai pendapatan yang lebih terjamin, beliau mempunyai lebih banyak pilihan untuk membina masa depan diri dan keluarganya.
“Inilah matlamat yang ingin kita usahakan bersama melalui program ini. Kita mahu kesungguhan wanita berniaga disokong dengan ilmu, bimbingan yang sesuai dan peluang untuk menemui pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Keusahawanan Jhewanita 2026 di Hotel Perkasa, di sini, Khamis.
Haslina berkata keperluan usahawan wanita berbeza mengikut tahap perniagaan masing-masing, dengan sesetengahnya memerlukan kemahiran asas, manakala yang lain bersedia meningkatkan mutu produk atau meneroka pasaran baharu.
Katanya, pencapaian seramai 6,952 penerima manfaat itu mendorong Jhewa untuk terus memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan kesan nyata kepada peserta.
“Kita mahu melihat ilmu yang dipelajari digunakan, mutu produk ditingkatkan dan perniagaan diurus dengan lebih teratur.
“Perubahan dalam amalan harian inilah yang membantu usahawan membina perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam usaha membantu usahawan wanita memperkenalkan produk masing-masing, Haslina berkata Jhewa turut menyediakan platform pemasaran menerusi inisiatif Jhewa BizBloom.
Menurutnya, inisiatif itu menyediakan ruang pemasaran produk usahawan wanita melalui kiosk di pusat beli-belah terpilih di Kota Kinabalu, dengan sokongan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (Mindet).






