
KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 1,221 orang daripada 445 keluarga pagi ini berbanding 1,120 orang daripada 405 keluarga petang semalam, manakala Selangor mencatatkan penurunan dan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Pulau Pinang ditutup sepenuhnya malam tadi.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Kampar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu yang menempatkan 22 mangsa daripada lapan keluarga.
Daerah Larut, Matang dan Selama mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 876 orang yang berlindung di tujuh PPS.
Di Manjung, 117 mangsa daripada 32 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Serai, manakala jumlah mangsa di Kerian menurun kepada 69 orang daripada 23 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan Dewan Serbaguna Gunung Semanggol.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di negeri itu pada petang dan malam ini.
Sementara itu, paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian, mencatatkan bacaan 9.35 meter, melebihi paras amaran 8.68 meter.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,167 orang daripada 313 keluarga yang masih berlindung di enam PPS di Kuala Selangor pagi ini, berbanding 1,313 orang daripada 348 keluarga petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS SK Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 352 orang, diikuti SK Parit Mahang (347), SRA Bukit Kuching (219), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (113), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (102) dan SRA Batu 8 Ijok (34).
Di Pulau Pinang, satu-satunya PPS yang beroperasi di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil, Nibong Tebal, ditutup sepenuhnya malam tadi selepas kesemua 34 mangsa terakhir dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Menurut portal InfoBencana JKM, penutupan PPS itu susulan keadaan banjir yang semakin pulih selepas air surut, cuaca bertambah baik dan kerja pembersihan kediaman mangsa selesai dilaksanakan.
PPS berkenaan dibuka pada 10 malam Ahad lepas bagi menempatkan 23 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan termasuk Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.-Bernama
The post Mangsa banjir di Perak terus melonjak appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Puncak Alam dah jadi pulau’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-17.42.06-1024x667.jpeg)

![[VIDEO] Van bawa 11 polis terlibat nahas, seorang maut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-16.59.08.jpeg)

