
KUALA LUMPUR, 8 NOV: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak meningkat manakala angka di Selangor mencatatkan penurunan setakat petang ini.
Di Perak, mangsa banjir di daerah Hilir Perak meningkat kepada 414 orang daripada 123 keluarga berbanding 389 orang daripada 115 keluarga pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 278 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
Jumlah mangsa di PPS Dewan MPTI Langkap pula berkurangan sedikit kepada 136 orang daripada 39 keluarga berbanding 138 orang daripada 40 keluarga pada sebelah pagi.
Sementara itu, jumlah mangsa ribut yang berlindung di PPS Dewan Komuniti Manjung kekal 26 orang daripada tujuh keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di Perak pada petang dan malam ini.
Di Selangor, seramai 507 mangsa daripada 143 keluarga masih berlindung di lima PPS setakat petang tadi berbanding 763 orang daripada 216 keluarga pada sebelah pagi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, empat PPS yang beroperasi di Kuala Selangor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela yang menempatkan 235 orang daripada 72 keluarga, SK Parit Mahang (81 oranng daripada 19 keluarga), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (73 orang daripada 20 keluarga) dan SK Jaya Setia (71 orang daripada 21 keluarga).
Sebuah lagi PPS di Shah Alam, iaitu Dewan Siantan Kampung Melayu Subang, Seksyen U6 pula menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga manakala PPS Dewan Masjid Al-Taqwa di Bukit Kapar, Klang masih dibuka namun tiada mangsa direkodkan.






