Pemuda Pas desak rizab Selangor diguna tangani banjir - Muhammad Faizzuddin

LocalPolitics
8 Nov 2026 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemuda Pas desak rizab Selangor diguna tangani banjir - Muhammad Faizzuddin
Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir baru-baru ini.
Image from: Pemuda Pas desak rizab Selangor diguna tangani banjir - Muhammad Faizzuddin
Muhammad Faizzuddin.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor didesak menggunakan sebahagian besar rizab negeri bagi memperkukuh pelan mitigasi banjir secara menyeluruh susulan kejadian banjir berulang yang didakwa menjejaskan keyakinan rakyat dan sektor industri.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, jawapan serta jaminan Menteri Besar Selangor berhubung isu banjir masih gagal meyakinkan rakyat yang berdepan kebimbangan terhadap risiko kehilangan harta benda dan kerugian perniagaan.

Menurutnya, rakyat, pengusaha serta sektor industri kini berhadapan ketakutan untuk menjalankan aktiviti harian dan operasi perniagaan berikutan kebimbangan banjir boleh berlaku secara tiba-tiba.

"Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan rakyat, malah berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi domestik serta keyakinan pelabur terhadap negeri ini.

"Rakyat Selangor ketika ini sangat kecewa dengan retorik yang berulang-ulang setiap kali pascabencana sedangkan penyelesaian tuntas masih gagal dibuktikan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

**media[3703914]**

Sehubungan itu, beliau mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan negeri supaya diberikan perhatian dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2027.

"Antaranya, kerajaan negeri diminta tidak terlalu berbangga dengan jumlah rizab yang tinggi sebaliknya menggunakan dana berkenaan untuk membiayai pelaksanaan pelan mitigasi banjir secara menyeluruh.

"Selain itu, kerajaan negeri turut didesak memberikan penjelasan terbuka berhubung status projek pembangunan yang diluluskan tanpa mengambil kira penilaian risiko banjir terhadap kawasan sekitarnya," ujar beliau.

Muhammad Faizzuddin memberitahu, Pemuda Pas Selangor juga mencadangkan supaya pemaju yang didakwa mengabaikan tanggungjawab terhadap kelestarian kawasan pembangunan dikenakan tindakan termasuk disenarai hitam.

Dalam masa sama, kerajaan negeri diminta melakukan reformasi terhadap hala tuju pembangunan dengan memperkenalkan pelan baharu lebih mampan dan mengambil kira risiko banjir secara holistik.

"Tiada lagi kelulusan projek baharu yang boleh mengundang bencana kepada lokaliti sedia ada," jelas beliau.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri mendapatkan khidmat nasihat pakar tempatan dan luar negara bagi merangka pendekatan mitigasi banjir yang lebih menyeluruh termasuk penggunaan teknologi tinggi.

"Tuntutan kelima pula membabitkan penambahbaikan penyelenggaraan longkang, sungai dan sistem saliran utama yang didakwa menjadi antara faktor penyumbang kepada kejadian banjir kilat," jelas beliau.

Katanya, peruntukan tambahan perlu disediakan bagi meningkatkan jumlah kontraktor penyelenggaraan selain menggunakan teknologi lebih canggih untuk memastikan aliran air sentiasa lancar.

"Kerajaan negeri diharap mengambil serius semua tuntutan ini dan memastikan Belanjawan Selangor 2027 benar-benar memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat serta keselamatan kawasan kediaman dan perindustrian," tambah beliau.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved