
KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,485 orang pagi ini berbanding 2,231 petang semalam susulan pertambahan mangsa di Selangor dan pembukaan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Negeri Sembilan.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,373 orang daripada 363 keluarga pagi ini berbanding 1,111 orang daripada 295 keluarga petang semalam yang ditempatkan di 10 PPS.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan mangsa paling ramai dengan 355 orang, diikuti SK Parit Mahang (343), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (182), Dewan Masjid An-Naim Kampung Jalan Kebun (182) dan KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (115).
PPS lain ialah Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (85), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (63), SRA Batu 8 Ijok (25), SK Batu Arang (12) dan Dewan MPPK Kampung Permatang Kundang (11).
Di Perak, jumlah mangsa di lima daerah terjejas berkurang kepada 1,054 orang daripada 372 keluarga berbanding 1,120 orang daripada 408 keluarga petang semalam yang berlindung di 10 PPS.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Larut, Matang dan Selama mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 617 orang daripada 231 keluarga di empat PPS, diikuti Kerian 177 mangsa daripada 61 keluarga dan Manjung 129 mangsa daripada 37 keluarga.
Di Kerian, jumlah mangsa termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS SK Bukit Merah, Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.
Daerah Hilir Perak pula merekodkan 108 mangsa daripada 34 keluarga, manakala Kampar menempatkan 23 mangsa daripada sembilan keluarga di PPS SK Kota Bharu, Gopeng.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan ribut petir di semua daerah di Perak petang ini.
Sementara itu, paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah di Kerian mencatatkan bacaan 9.25 meter, melebihi paras bahaya 9.14 meter, manakala Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang melebihi paras berjaga-jaga dengan bacaan 22.05 meter.
Di Negeri Sembilan, dua PPS dibuka di daerah Port Dickson iaitu Balai Raya Kampung Jimah Lama dan Balai Raya Kampung Linggi yang menempatkan 58 mangsa daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini.
Berdasarkan data InfoBencana JKM, mangsa terdiri daripada 14 lelaki, 16 wanita dan 28 kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU). – BERNAMA
The post Mangsa banjir di Selangor meningkat hampir 2,500 appeared first on Kosmo Online.





