
SHAH ALAM, 17 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor menurun kepada 1,167 orang daripada 313 keluarga yang masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.
Berdasarkan data Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu berkurang sebanyak 215 orang berbanding 1,382 mangsa daripada 367 keluarga yang direkodkan pada 15 November lalu.
Bilangan keluarga yang berlindung di PPS turut mencatatkan penurunan sebanyak 54 keluarga dalam tempoh sama.
Menurut portal berkenaan, kesemua enam PPS masih beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas dari tiga mukim di Kuala Selangor.
PPS di daerah itu mula dibuka pada 5 November lalu susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan.
Setakat kemas kini berkenaan, Kuala Selangor merupakan satu-satunya daerah di negeri ini yang masih merekodkan mangsa banjir di PPS.






