Mangsa Banjir Melaka Meningkat 1,000 Orang, 2 Daerah Terjejas

LocalEnvironment
12 Jul 2026 • 9:36 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mangsa Banjir Melaka Meningkat 1,000 Orang, 2 Daerah Terjejas

KUALA LUMPUR 12 Julai - Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 989 orang susulan hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah, sekali gus memaksa ratusan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, jumlah terkini yang direkodkan pada jam 8 pagi Ahad itu meningkat berbanding 970 mangsa dilaporkan malam sebelumnya, berikutan pertambahan penduduk yang terjejas.

Di Alor Gajah, 20 mangsa dari kawasan termasuk Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Pulau Semut dan Kampung Seri Jeram dipindahkan ke dua PPS iaitu di PERKIM Masjid Tanah dan Balai Raya Kampung Seri Jeram.

Daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 969 orang daripada 304 keluarga ditempatkan di empat PPS.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 716 orang daripada 227 keluarga, diikuti SK Taman Bukit Rambai yang menempatkan 186 mangsa, JAPERUN Pantai Kundor (43 mangsa) dan SJKC Bertam Ulu (24 mangsa).

Kamarulsyah berkata, sebanyak 34 kawasan terjejas akibat banjir dengan 30 daripadanya berada di Melaka Tengah, termasuk Kampung Batu Berendam, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Tanjung Minyak, Kampung Bertam Ulu, Kampung Batu Hampar dan Rambai Indah.

“APM bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan banjir dan bersiap siaga untuk membantu penduduk terjejas, termasuk melaksanakan operasi pemindahan tambahan sekiranya diperlukan,” katanya. - Getaran, 12 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved