“Mangsa diikat…” – Remaja 13 Tahun Mengaku Tak Bersalah Bunuh Teman Wanita Sebaya

Entertainment
13 Aug 2024 • 3:03 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Jenayah kebelakangan ini semakin menakutkan dan mengerikan, terbaru seorang remaja berusia 13 tahun didakwa membunuh teman wanita yang sebaya dengannya.

Dalam laporan Berita Harian, remaja tersebut tidak mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan tersebut dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, Sabah pada Januari tahun lalu.

Difahamkan, tertuduh merupakan pemegang pasport Indonesia, dia berumur 13 tahun ketika kejadian membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Zahirah Safarudin berusia 13 tahun (tiada dokumen pengenalan diri) dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Dalam pada itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tangan diikat di dalam parit di lokasi kejadian dengan kesan luka di kepala, selain mangsa diturut disyaki dirogol.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 10 hingga 14 Februari tahun hadapan untuk perbicaraan penuh dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.