KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dikesan menggunakan taktik ‘salah hantar mesej’ bagi memerangkap mangsa sebelum memperdaya mereka menyertai pelaburan dalam talian tidak wujud.
Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memaklumkan kes terbaharu membabitkan seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an mengalami kerugian RM223,000 selepas terpedaya dengan seorang wanita yang dikenali melalui media sosial.
"Mangsa menerima mesej WhatsApp daripada individu terbabit yang kononnya tersilap menghantar mesej pada 8 Februari lalu.
“Wanita itu (suspek) kemudian menghubungi mangsa beberapa kali untuk berkenalan dan berbual di alam maya sebelum berjaya membina kepercayaan mangsa," katanya.
JSJK berkata, suspek seterusnya memperkenalkan satu pelaburan ‘trading’ saham melalui sebuah laman sesawang dan meyakinkan mangsa bahawa pelaburan tersebut mampu memberikan pulangan lumayan.
"Mangsa telah melakukan sembilan transaksi pemindahan wang berjumlah RM223,000 ke enam akaun bank berbeza yang dipercayai milik suspek antara 13 Februari hingga 6 Mac.
"Pada 7 Mac lalu, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM212,398 yang didakwa sebagai cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan," katanya.
Menurutnya, mangsa mula berasa curiga selepas berbincang dengan isteri dan anaknya sebelum tampil membuat laporan polis pada 9 Mac lalu.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam pada itu, JSJK menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan daripada individu yang hanya dikenali di alam maya.
Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pemindahan wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.




