
TAMPIN – Hasrat pemain bola sepak muda, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, untuk membuat penampilan bersama Kelab MAFC dalam saingan Liga Remaja Negeri Sembilan Bawah 15 (B-15) semalam tidak kesampaian.
Jurulatih Kelab MAFC, Hairee Hassan, 37, berkata, arwah bukan sahaja disenaraikan dalam kelompok 18 pemain bagi perlawanan yang berlangsung di Seremban semalam, malah jersinya bernombor 30 sudah disediakan.
Katanya, Allahyarham yang beraksi di posisi penjaga gol telah menjalani latihan bersama kelab itu sejak berusia 11 tahun dan dididik olehnya bersama seorang lagi jurulatih, Mohd. Rizal Sabtu, 44, lebih empat tahun lalu.
“Dia seorang penjaga gol yang berbakat dan sudah banyak beraksi bersama MAFC sejak berusia 12 tahun termasuk kejohanan Open B-12 di Melaka serta beberapa perlawanan persahabatan di Alor Gajah.
“Namanya disenarai dalam kelompok 18 pemain untuk saingan Liga Remaja Negeri Sembilan B-15 dan sepatutnya hari ini (semalam) merupakan penampilan pertamanya bersama pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, pihaknya amat terasa dengan kehilangan Allahyarham kerana selain seorang pemain, Idlan juga sudah dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga besar kelab berkenaan.
“Jersi dia pun belum sempat dipakai untuk perlawanan pertama hari ini (semalam). Sepatutnya kami lihat dia beraksi di padang tetapi kami kehilangan dia buat selama-lamanya. Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga kelab,” katanya.
Semalam, Kosmo! Ahad melaporkan Muhammad Idlan Fareeq, 14, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dibuli.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat dan hasil analisis daripada Jabatan Kimia.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Dah berkata, JKM menerusi kaunselor dan pelindung kanak-kanak telah menyantuni keluarga mangsa bagi memberikan sokongan psikologi. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Idlan penjaga gol berbakat, tidak sempat beraksi’ appeared first on Kosmo Online.





