Manifesto PH fokus tuntutan sebenar rakyat - Nie Ching

LocalPolitics
4 Jul 2026 • 8:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Manifesto PH fokus tuntutan sebenar rakyat - Nie Ching
Nie Ching (empat dari kanan) menghadiri majlis makan malam kutipan dana bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dan DUN Senai.

KULAI – Pakatan Harapan (PH) mempertahankan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilancarkan pada Jumaat dengan menegaskan tawaran dikemukakan berpandukan keperluan sebenar rakyat, bukannya semata-mata untuk menampilkan idea baharu.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, kritikan Barisan Nasional (BN) bahawa manifesto PH tidak mempunyai pembaharuan bukan isu utama kerana keutamaan adalah menyelesaikan masalah yang masih membelenggu rakyat.

Menurutnya, isu seperti pendidikan, kesihatan, pemilikan rumah dan peluang untuk golongan muda terus menjadi perkara yang perlu diberi perhatian.

"Ini adalah isu yang dihadapi pengundi setiap hari. Jadi tidak timbul soal tawaran ini sudah tidak relevan kerana ia adalah apa yang diminta dan diperlukan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dan DUN Senai di sebuah restoran, di sini pada malam Jumaat.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kulai itu mempersoalkan sejauh mana BN telah menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini gagal menyelesaikan isu kesesakan di pintu sempadan walaupun ia pernah dijanjikan kepada rakyat.

"Masalah itu akhirnya dapat ditangani melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan," katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyifatkan manifesto PH tidak mengujakan kerana sebahagian besar tawarannya telah pun dilaksanakan kerajaan negeri, selain tidak menawarkan sebarang perkara yang boleh menjadi 'game changer'.

PH melancarkan manifesto bertemakan 'Johor Untuk Semua' pada Jumaat mengandungi 10 tawaran utama merangkumi kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi negeri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved